Friday, March 25, 2011

BAB 1

Januari,Hari Isnin,SMK Bais Saujana
   LOCENG waktu rehat untuk pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima berbunyi pada pukul 10.30 pagi.Pelajar tingkatan tiga sudah selesai waktu rehat mereka pada pukul 10.15 pagi tadi.Sekarang giliran menengah atas pula menjalani waktu rehat mereka. 
   Kelihatan di tingkat tiga Blok B,sekumpulan pelajar lelaki sedang berbual di hadapan kelas Tingkatan Empat Delima,kelas pelajar aliran sains tulen.Mereka seramai tiga orang.Salah seorang daripada mereka sedang makan sandwich.
   “Aku malaslah nak pergi rehat.Kita duduk sini ajelah,”kata salah seorang daripada mereka.
   “Lehehhah hau hi,Azman.Oku lafarlah...tehanlah hawan hau hi (Lecehlah kau ni,Azman.Aku laparlah...temanlah kawan kau ni),”kata seorang lagi.
   Pelajar lelaki dipanggil Azman itu menjeling.
   “Syahid!Lain kali kalau nak cakap habiskanlah makanan dalam mulut tu dulu.Dahlah makan berdiri.”
   Syahid tidak berkata apa-apa.Mulutnya terus mengunyah roti yang dimakannya tadi.
   “Tengok!Dia boleh buat tak tahu.Aku bagi makan kasut nanti...”
   “Mulut aku tengah mengunyah lagi macam mana nak makan,” Syahid sengaja meloyar buruk.Roti di dalam mulutnya hampir habis dikunyah.
   Azman mengerutkan keningnya.
   “Woi,sudahlah!Pasal makan pun nak gaduh,”seorang lagi pelajar lelaki iaitu Firas menenangkan mereka.
   “Hei, tunggu siapa?”Satu suara mencelah.
   Firas memandang tuan punya suara itu. “Ada juga yang nak kena makan kaki.Kami tunggu kaulah.Boleh tanya lagi.”
   “Hafiz,apahal kau lambat?”Tanya Syahid.
   “Kelas aku baru keluar.Tadi aku ada kelas Sejarah.Kau bukannya tak kenal Cikgu Borhan,”kata Hafiz sambil ibu jarinya menunjuk ke arah kelasnya yang berada di sebelah kelas Tingkatan 4 Delima,iaitu kelas Tingkatan 4 Permata,juga kelas aliran sains tulen.
   “Patutlah,”kata Firas sambil tersengih.Sememangnya mereka cukup maklum dengan perangai Cikgu Borhan.Cikgu Borhan merupakan guru disiplin sekolah itu dan jawatan itu sesuai dengan sikapnya yang tegas dan berpendirian teguh.Kalau hitam katanya,hitamlah.Sekiranya dia belum berpuas hati dengan pembelajaran di kelas yang dia mengajar,selagi itulah dia tidak keluar dari kelas.Walaubagaimanapun,dia tetap prihatin dan tidak mementingkan diri kerana dia tahu anak-anak muridnya tetap memerlukan pelajaran subjek lain.
   “Nasib baiklah cikgu Sejarah kami bukan Cikgu Borhan,”ujar Azman ,merujuk kepada dirinya,Firas dan juga Syahid yang berada dalam kelas yang sama,iaitu kelas Empat Delima.
   Hafiz mengangkat keningnya.
   “Azman!”Kedengaran satu suara memanggil Azman dari dalam kelas Empat Delima.
   Mereka bertiga menoleh hampir serentak ke arah suara itu.
   Kelihatan seorang perempuan mendekati mereka.
   “Ada apa Farahin?”Azman mencekak pinggangnya.
   Pelajar perempuan yang bernama Farahin mencebik. “Ini duit lima ringgit kau yang aku pinjam semalam,”Farahin menghulurkan duit not lima ringgit kepada Azman.
   Azman mengambil duit itu.Hafiz,Firas dan Syahid memandang Farahin dengan dahi yang berkerut.
   Farahin memuncungkan mulutnya. “Semalam aku tak ada duit nak beli buku panjang.Jadi,aku pinjam duit dia,”terang Farahin.
   “Ooo...”ujar Hafiz,Firas dan Syahid hampir serentak.
   “Tapi buku panjang sebuah cuma seringgit setengah,”kata Syahid.
   “Tiga!”Balas Farahin sambil mengangkat tiga jarinya.
     Ketiga-tiga pelajar lelaki tadi mengangkat kening.Farahin menarik nafas dan pandangannya beralih ke arah Hafiz.
   “Macam mana kelas kau?”Tanya Farahin.
   Hafiz mengangkat bahu. “Huh,ramai juga pelajar yang aku tak kenal!Kebanyakannya bukan satu kelas dengan kita masa tingkatan tiga dulu,”balas Hafiz sambil menghela nafasnya.
   “Ye ke?Tak apa,lama-lama nanti kau biasalah,”kata Farahin sambil tersenyum lembut.Dia kelihatan agak malu-malu apabila bercakap dengan Hafiz.
   Azman,Firas dan Syahid memandang Hafiz.Hafiz hanya mengangkat keningnya.
   “Farahin,tak turun rehat ke?”Tegur seorang pengawas perempuan yang tiba-tiba muncul tidak jauh dari Hafiz dan yang lain berada.
   Farahin tersentak. “Err...nak turunlah ni!”
   Pengawas perempuan untuk memandang hairan ke arah Farahin.Kemudian,matanya beralih kepada Hafiz.Dia tersenyum.
   “Patutlah,”bisik pengawas itu perlahan.
   Farahin memandang keempat-empat pelajar lelaki di hadapannya lalu meminta diri.Dia berjalan menuruni tangga blok yang terdapat di belakang tempat pengawas perempuan itu berdiri.Semasa dia berselisih dengan pengawas perempuan itu,dia mendapati pengawas itu tersengih nakal ke arahnya.
   “Pandai kau,ya!”Usik pengawas perempuan itu.
   Farahin tersengih. “Aku tegur sahajalah.”
   Farahin berjalan menuruni tangga sambil diperhatikan oleh pengawas perempuan dengan senyuman manis di bibirnya.
   Kemudian,dia memandang pula keempat-empat pelajar lelaki itu.
   “Hah,kau berempat!Tak nak turunkah?”Katanya tegas.
   Hafiz,Firas,Azman dan Syahid agak terkejut dengan teguran itu.Mereka mendekati pengawas perempuan itu.
   “Kami nak turunlah ni, Inarah.Hafiz yang lambat,”ujar Firas sambil menunjuk jarinya ke arah Hafiz.
   “Eh,aku pula!”Sergah Hafiz menjeling Firas.
   “Dah,dah.Baik kau bertiga turun sekarang,sebelum aku tulis nama,”tegas pengawas perempuan bernama Inarah itu.
   Hafiz dan kawan-kawannya yang lain akur.Semasa mereka baru sahaja beberapa langkah menuruni tangga,Inarah ternampak dompet terjatuh dari poket seluar sekolah Firas. Disebabkan tangan kanannya memegang nota kecil, dia tunduk mengambil dompet itu menggunakan tangan kirinya.Tiba-tiba dia merasai kesakitan di bahagian bahu kirinya. Dia mengerang dan spontan tangan kanannya memegang bahu kirinya.
   Hafiz dan kawan-kawannya yang terdengar keluhan Inarah serta-merta menghentikan langkah mereka lalu menoleh ke belakang.Mereka terlihat Inarah sedang duduk di atas tangga sambil tangan kanannya memegang bahu kirinya sambil mengaduh menahan kesakitan.Tangan kirinya memegang dompet kepunyaan Firas.
   “Inarah,kau kenapa?”Firas mendekati Inarah. Dia memandang tangan kiri Inarah. “Itu dompet aku.”
   Hafiz,Azman dan Syahid berada di belakang Firas.
   “Inarah?”Tanya Azman.
   “Bahu kau kenapa?”Syahid terlebih dahulu bertanya sebelum Azman sempat membuka mulut.
   “Tak ada apa-apa...ini dompet kau Firas,”Inarah menghulurkan dompet di tangannya kepada Firas.Selepas itu,dia bangun dari  duduknya. Tangan kanannya masih lagi memegang bahu kirinya.
   “Bahu kau cederakah?”Hafiz yang dari tadi diam tiba-tiba bersuara.Nadanya serius.
   Inarah memandang Hafiz.Tajam.
   “Aku rasa baik kau semua turun rehat sekarang.Lagi sepuluh minit lagi rehat nak habis.Nanti kalau tak sempat makan jangan nak salahkan aku,”perintah Inarah lalu beredar dari situ.
   Hafiz,Firas,Azman dan Syahid hanya memandang sahaja pemergian gadis itu dengan hairan.
   Tanpa mereka sedari,di tangga hujung blok itu,sepasang mata sedang memerhatikan mereka di sebalik dinding berhadapan dengan tangga.Namun,pandangannya lebih tertumpu kepada Hafiz.Dia tersenyum lebar.
   “Aku dah jumpa kau,”katanya perlahan tetapi penuh dengan nada kejahatan.

                           *          *          *          *          *
   Pukul 1.50 tengahhari adalah waktu pelajar aliran sains tulen tingkatan empat dan lima pulang ke rumah pada hari itu.Jam dinding sekolah yang terdapat di anjung berhadapan dengan tempat letak kereta guru sudah menunjukkan pukul dua petang.Ini bermakna sudah 15 minit pelajar-pelajar aliran sains tulen itu sudah tamat pembelajaran mereka.Namun,tidak semua pelajar tersebut sudah pulang ke rumah.
   Di hadapan sekolah,masih ada lagi pelajar yang sedang duduk atau berdiri sambil berbual-bual.Mungkin mereka berbual-bual sambil menunggu ibu bapa mereka datang menjemput.Namun,ada juga yang bersendirian.Masing-masing dengan ragam dan gelagat masing-masing.
    Hafiz baru sahaja selesai membeli minuman di sebuah gerai hadapan sekolah.Dia sekarang menuju ke arah rakan-rakannya yang sedang menunggunya di hadapan pagar sekolah.
   Firas dan Azman sedang menaiki motosikal.Azman membonceng Syahid.Hafiz pula lantas duduk di tempat duduk belakang motosikal Firas.Firas menghidupkan enjin motosikalnya.
   “Lain kali ambil lesenlah,Fiz.Kau tu bukannya ringan,”kata Firas.
   “Kalau boleh dua puluh tahun dulu aku dah ambik!Nak buat macam mana tauke tak bagi!”
   Syahid mengerutkan dahinya sambil memandang Hafiz.
   “Sejak bila pula kau kerja?Tak beritahu kami pun!”
   Hafiz dan Firas saling berpandangan.Kemudian,mereka memandang Syahid semula.
   “Bila masa pula aku cakap pasal kerja ni?”Soal Hafiz kehairanan.
   “Tadi kau kata ‘tauke’.”
   Azman yang berada di hadapannya menyiku badan Syahid.
   “Kau apahal,Man?”
   “Maksud dia ‘tauke’ tu bapa dialah,pandai!”Ujar Azman sambil mendengus.
   “Ohh...lain kali cakaplah bapa!Aku ingatkan tauke jual ikan.”
“Diamlah kau.Aku nak balik.Lapar gila dah ni,”Firas menyampuk.
   Mereka berhenti bertelagah.Firas segera menekan minyak lalu memecut motornya dengan kelajuan sederhana,diikuti dengan motosikal yang ditunggang Azman dan dibonceng Syahid.Destinasi motosikal Firas adalah rumah Hafiz kerana dia hendak menghantar Hafiz dahulu ke rumahnya.Begitu juga dengan destinasi motosikal yang ditunggang Azman yang menuju ke rumah Syahid.

                           *          *          *          *          *
Taman perumahan Nurijaya
   Motosikal Firas sampai di jalan masuk ke Taman Nurijaya.Semasa motosikalnya hendak masuk ke dalam jalan masuk itu,sebuah van melintasi di hadapannya.Mujur Firas sempat menekan brek.Kalau tidak,entah apa yang terjadi.
   “Wah,bebas betul van ni bergerak!Terbabaslah kau!”Marah Firas.Motosikalnya masih berhenti akibat menekan brek tadi.
   “Apa benda kau mengarut ni?”Tanya Hafiz.
   “Kau tak nampak ke van tadi melintas ikut suka hati je!Nasib baik aku sempat brek,kalau tak...duduk wad kita!”
   Hafiz mengecilkan matanya.
   “Okey,benda tu dah lepas!Tapi sekarang aku nak beritahu pasal van dekat belakang kita pula.Aku takut nanti ada yang kena maki,”kata Hafiz sambil ibu jarinya menunjuk ke arah belakang.
   Firas menoleh ke belakang.Sebuah van putih berada di belakang motosikalnya sambil membunyikan hon.Barulah dia sedar motosikalnya sedang berhenti di tengah jalan masuk.
   “Woi,budak!Nak kena langgar ke?”Jerit pemandu van itu.
   Firas agak tersentak. “Oh,sorry!Sorry!Saya jalan sekarang!”
   Hafiz yang berada di tempat duduk belakang menepuk dahi.
   “Aku dah cakap dah.Ada yang kena maki.”
   Motosikal Firas akhirnya meluncur meninggalkan tempat itu menuju ke rumah Hafiz yang berada di taman perumahan itu.
    Beberapa minit kemudian,motosikal Firas sudah berada di hadapan pintu pagar rumah Hafiz.Di tembok sebelah pintu pagar rumah Hafiz terlekat satu kain yang panjangnya satu inci dan lebarnya dua inci.Di atas kain itu tertera perkataan ‘URUTAN TRADISIONAL FATIMAH.Hubungi 04-4567880 atau 013-5766879’.
   Hafiz turun dari motosikal Firas.Matanya memandang halaman rumahnya.Kelihatan adiknya,Fityati yang berusia sebelas tahun sedang bermain-main dengan kucing belaan mereka,Kawaii.Kawaii adalah perkataan dari bahasa Jepun yang bermaksud ‘comel’.Hafiz sengaja memberikan nama itu kerana nama ‘comel’ sudah acap kali kedengaran.Kawaii adalah seekor kucing berbulu bertompok hitam putih dan seekor kucing jantan.
   Setelah motosikal Firas meninggalkan rumah Hafiz barulah Fityati sedar akan kepulangan abang sulungnya dari sekolah.Dia mendukung Kawaii lalu mendapatkan abangnya.
   “Mak mana?”Tanya Hafiz sambil mengusap-usap kepala Kawaii.Kawaii memejam matanya,membiarkan sahaja kepalanya diusap.
   “Dalam bilik...tidur.Mak tak berapa sihat.”
   “Hah,demam ke?”Soal Hafiz lagi.Risau.
   “Selsema sikit.Tapi,badan mak panas juga,”Fityati melangkah masuk ke dalam rumah,diikuti oleh Hafiz.
   “Demamlah tu,”kata Hafiz.Setelah membuka kasut,kakinya pantas melangkah menuju ke bilik orang tuanya.
   Apabila Hafiz tiba di muka pintu bilik,kelihatan ibunya,Puan Fatimah terbaring lemah di atas katil.Matanya terbuka tetapi kelihatan lesu.Apabila dia ternampak Hafiz,bibirnya mengukir senyuman.
   Hafiz mendekati ibunya. “Mak sakit?”
   “Selsema sikit je,Fiz...”Puan Fatimah memegang tengkuknya. “...dan sakit tekak.”
   “Bila mak sakit?Pagi tadi?”
   Puan Fatimah mengangguk perlahan.
   “Tak pergi klinik?”
   Puan Fatimah menggeleng. “Mak tak boleh pergi sebab ayah kamu tak ada.”
   Hafiz mengangkat kening.
   “Mak tak beritahu ayah kamu lagi,”jelas Puan Fatimah.
   “Kenapa mak tak beritahu?Kalau mak beritahu,boleh ayah hantar mak pagi tadi,”kata Hafiz lembut tetapi tegas.Dia agak kecewa kerana ibunya tidak memaklumkan kepada ayahnya.
   “Mak tak nak susahkan ayah kamu.Ayah kamu sendiri kata yang dia ada mesyuarat penting hari ni dan tak nak diganggu,”ujar Puan Fatimah sambil memandang anaknya.
   “Tapi,kalau mak beritahu ayah,mesti ayah boleh batalkan mesyuarat tu.Kan mesyuarat tu ayah yang adakan,”Hafiz menarik nafas. “Tak apalah mak.Nanti petang Hafiz bawa mak pergi klinik.”
   “Macam mana kamu nak pergi?Kamu mana ada lesen motor?”Soal Puan Fatimah.Dia tidak mahu menyusahkan anaknya.
   “Bas ada,mak!Petang ni bas lalu dekat stesen depan taman kita ni lebih kurang pukul empat,”tegas Hafiz.
   Puan Fatimah terkedu.Kalau boleh,dia tidak mahu menyusahkan anaknya tetapi jauh di sudut hatinya,dia terharu dengan sikap anaknya yang begitu mengambil berat tentang dirinya.
                           *          *          *          *          *
Gua Dendaron,Pasang Pasir Ahwaz,Dimensi Mena
   Gua itu besar dan kelihatan gelap di dalamnya.Kedengaran bunyi ngauman kuat dari dalam gua dan pasir-pasir yang berdekatan dengan gua itu menghasilkan debu pasir.Ngauman itu memang mengerikan.
    Tiba-tiba kelihatan  pula dua susuk tubuh lelaki berlari keluar dari gua gelap-gelita itu.Berdasarkan pakaian yang mereka pakai,mereka kelihatan seperti seorang pengembara.Mereka menghentikan langkah mereka di hadapan pintu gua.Mereka termengah-mengah.
   “Kay,Malik ada kat dalam lagi tu.Kau rasa dia selamat tak?”Tanya salah seorang daripada mereka.
   Lelaki yang dipanggil Kay memandang rakan di sebelahnya.
   “Aku tak tahu.Aku tak sempat pandang belakang tadi.Makhluk tu ganas betul!”
   “Tak nak tolong ke?”
   “Gila kau,Robert!Kau tau tak,kita selamat ni pun sebab Malik yang cuba lindungi kita!Kalau kita tolong,kita pulak kena...”Kay tidak menghabiskan ayat terakhirnya,seolah-olah terasa ngeri hendak menyebutnya.
   “Dengar sini,Robert.Tugas kita sekarang pergi minta bantuan.Itu yang Malik nak.Aku yakin Malik selamat,”terang Kay bersungguh-sungguh.
   Robert hanya diam.Angguk tidak geleng pun tidak.Dia sebenarnya risaukan rakannya,Malik.Kalau boleh,mahu sahaja berpatah balik dan menolong rakannya itu.Namun,apa boleh buat.Malik sendiri yang menyuruh mereka melepaskan diri dan meminta bantuan.Dia teringat kembali peristiwa mereka bertiga diserang oleh makhluk yang entah apa namanya mereka sendiri tidak tahu.Apa yang pasti,makhluk itu memang menakutkan.
   Kay memegang bahu Robert,cuba menenangkannya.Robert menarik nafas.
   “Okey,kita pergi minta bantuan!Tapi,dari siapa?”Tanya Robert setelah kembali semangatnya semula.
   Kay tersenyum.
   Sementara itu,lebih kurang sepuluh meter bahagian tepi sebelah kanan gua dari tempat mereka berdiri,kelihatan sebuah batu besar sebesar pintu gua tersebut.Di sebalik batu itu,terdapat sepasang mata sedang memerhatikan mereka dengan pandang tajam.
   “Nampaknya aku masih ada peluang,”bisiknya sambil mengambil kain putih menutup wajahnya kecuali bahagian mata.

No comments:

Post a Comment