Saturday, March 26, 2011

BAB 12


SUDAH hampir dua puluh minit keenam-enam remaja itu berehat gara-gara kesakitan Hafiz secara mengejut tadi.Sekiranya mengikutkan perancangan tadi,tinggal sepuluh minit lagi mereka akan memulakan perjalanan semula.Mereka mengambil peluang itu untuk mengembalikan tenaga mereka yang sudah hilang tadi.
     Hafiz duduk tersandar pada sebatang pokok bersama Fajar.Fajar sudah memberikan rawatan kepadanya tadi dengan mengalirkan sedikit tenaganya.Sedikit sebanyak kesakitannya semakin berkurangan.Malah minuman herba yang diberi Fajar dari sumber hutan itu membuatkan tubuhnya sedikit segar.
     Khazin,Naufal dan Dayana pula duduk di satu tempat agak jauh dari tempat Hafiz dan Fajar berada.Sengaja mereka duduk jauh sedikit supaya tidak menganggu Hafiz.Wajah Khazin sugul sahaja meresahkan Dayana dan Naufal yang duduk di hadapannya.
     “Sabarlah,Khazin.Kau jangan lupa,Abang Khalil tu saudara aku dan juga abang angkat Dayana.Kami pun risaukannya,”Naufal cuba menenangkan Khazin.
     “Betul,Khazin.Kalau kau buat muka macam ni,lagilah kami tak sedap hati,”sokong Dayana.
     “Naufal,Dayana...aku tak bermaksud begitu.Aku terkilan sebab aku tak dapat selamatkan abang aku,”luah Khazin. “Aku baru saja nak gembira berjumpa dengannya.”
     Dayana menghela nafas.Dia memandang Naufal. “Kau rasa sekarang ni Abang Khalil tak apa-apakah?”Soalnya.
     “Aku tak berani nak teka apa-apa.Tapi aku yakin,mereka takkan bunuh Abang Khalil selagi kita tak jumpa mereka.”
     “Kenapa pula?”          
    “Abang Khalil tu ibarat umpan.Selagi Abang Khalil masih ada,kita akan datang kepada mereka.Memanglah kalau Abang Khalil mati sekalipun,kita akan tetap tewaskan mereka.Tapi mereka licik.Kita tak tahu apa rancangan mereka,”terang Naufal.
     “Itu tak semestinya,Naufal,”suara seseorang mengejutkan mereka bertiga.Khazin,Naufal dan Dayana menoleh ke tepi.
     Kelihatan Inarah yang datang entah dari mana memandang serius ke arah mereka.Di sebalik wajah seriusnya itu,terselit riak muram dan masam pada wajah keremajaannya itu.
     “Mereka tu Genolis.Mereka lebih kejam daripada apa yang kita sangka.Mereka sanggup buat apa saja untuk memerintah Mena,”ujar Inarah. “Walaupun motif kali ini ialah dendam,tapi ini baru permulaan.Ingat,rakan Musyary bukan saja Hanz,Faruk dan Gomez saja.Dia ada ramai lagi rakan keturunan Genolis yang lain selain daripada yang terperuk dalam Penjara Polis Dimensi tu,”tegasnya.
     “Itu kami tahu,”akui Naufal.
     Dayana merenung Khazin. “Jangan risau,Khazin.Kami yakin abang kau selamat.”
     Khazin tersenyum. “Terima kasih,Dayana.”
     Inarah menghela nafas lalu beredar dari situ.Dia berjalan menghampiri Hafiz dan Naufal.Kedua-dua lelaki itu sedar akan kedatangan Inarah apabila gadis itu duduk di hadapan mereka.Wajahnya masih lagi mencuka.
     “Apa masam-masam ni?Tak cantiklah macam tu,”usik Fajar.
     Inarah tersenyum kelat. “Semuanya okey,Fajar?”Soalnya tanpa mempedulikan usikan Fajar.
     Fajar dan Hafiz saling berpandangan.Mereka tersengih nakal.
     “Woi,aku tanya ni!Jawablah!”Geram Inarah dibuatnya apabila dia terasa dirinya dipermainkan.
     “Kau jangan risau,Ina.Fajar dah rawat aku.Setakat ni alhamdulillah badan aku dah segar sikit dari tadi.Sakit aku pun dah kurang,”Hafiz menjawab bagi pihak Fajar.
     Inarah tersenyum lega.
     “Apapun,aku nak beritahu kau,Hafiz,”kata Fajar. “Aku cuma rawat satu perempat daripada tenaga kau.Selebihnya bergantung kepada kau sendiri melalui semangat kau.”
     “Semangat?Apa maksud kau?”Tanya Hafiz.
     “Kau Pahlawan Mena,Hafiz.Arwah Widad penasihat kau dulu pencipta batu jed itu.Rasanya Inarah dah beritahu tentang ciri-ciri pemilik batu jed itukan?”
     “Ah ya!”Inarah mengiyakan.
     “Seorang Pahlawan Mena mesti berani,kuat semangat,tidak mudah berputus asa dan tidak cepat mengalah.Itu baru empat ciri yang aku tahu,”beritahu Fajar. “Melalui ciri-ciri yang ada pada kau,kau kena gunakannya untuk melawan kesakitan tu.Insya Allah akan berjaya.”
     Mendengar kata-kata Fajar itu,Hafiz menarik muka masam.
     “Kenapa?”Tanya Fajar.
     “Malangnya aku langsung tak ada ciri-ciri tu,”kata Hafiz.
     Fajar terkejut.Inarah pula tergamam. “Kenapa?Kalau kau tak ada ciri-ciri tu,kenapa kau jadi pemilik batu jed ni?”
     “Mungkin kau semua nampak dari segi fizikal saja.Hakikatnya aku ni sebenarnya takut-takut berani dan hampir putus asa dalam menjalankan misi.Aku menjalankan misi ni atas dasar tanggungjawab saja,”tegas Hafiz.
     Fajar tersengih. “Itu salah satu cirinya.”
     “Apa?”
     “Hafiz,sifat tanggungjawab merangkumi semua.Atas dasar tanggungjawab itulah yang membuatkan kau berani hadapi misi ni,kuat semangat dan lain-lain.”
     “Betul apa yang Fajar cakap tu,”sampuk Inarah. “Arwah Widad pernah beritahu aku semasa baru beberapa hari aku menjadi manusia terpilih.Seorang Pahlawan Mena yang bakal bersama aku nanti akan menyenangkan kerja aku.Dan apa yang dia cakap memang betul.”
     Fajar menyilangkan tangannya. “Jadi kau kena bangga sebab diri kau tu terpilih.Aku pun bertuah sebab dapat berkenalan kau dengan Inarah,”Fajar berterus-terang.
     Hafiz diam sahaja apa yang diperkatan oleh kedua-dua rakannya itu.Dia mahu menafikan semua itu kerana dia merasakan dirinya tidak layak.Bagaimanapun,Fajar dan Inarah telah memberikan kata-kata semangat padanya.Tidak sampai hati dia mahu menafikannya.
     “Cuma aku nak minta maaf,”Inarah bersuara meminta maaf. “Mungkin aku pandai beri nasihat saja tapi aku sendiri tak pandai bertindak.Contohnya masa kau berlawan dengan Musyary tadi.Aku hanya mampu melihat tanpa berbuat apa-apa sebab terikat dengan tali Hanz.”
     Hafiz tersenyum perli. “Lupakan semua tu.Kau dah terikat macam banduan nak buat macam mana.”
     “Banduan pun banduanlah!”Inarah mencebik. “Mungkin aku ni bukan penasihat yang baik.Aku cuma manusia terpilih sampingan sebelum kemunculan kau.Itu saja,”suaranya kembali perlahan.
     “Sebenarnya bagi aku,tentang pertolongan yang diberikan ataupun status kau berdua tak menjadi hal,”sampuk Fajar tiba-tiba.
     Hafiz dan Inarah serentak menoleh ke arahnya.
     “Semuanya bergantung kepada kerjasama kau berdua...dan juga tentang perkara yang kau berdua alami sekarang.Walaupun kau berdua tak katakannya tapi tengok muka pun aku dah tahu.Sejak dari misi Jabran lagi,”tambah Fajar lagi sambil tersengih.
     Hafiz dan Inarah terkebil-kebil menanti apakah yang dimaksudkan dengan ‘perkara yang mereka berdua alami’ itu.
     “Sebenarnya kau berdua ni...”
     “Fajar!Hafiz!Inarah!Jom kita bertolak sekarang!”Panggilan Dayana mematikan ayat Fajar.Fajar,Hafiz dan Inarah serentak memandang ke arah Dayana.
     “Dah habis setengah jam ke?”Fajar menyahut sambil berdiri.Hafiz dan Inarah yang berada di sebelahnya turut bangun berdiri.
     “Lagi tiga minit tapi rasanya dah boleh bertolak!”
     Fajar menoleh ke arah Hafiz dan Inarah. “Bolehkah?”
     Hafiz dan Inarah tersenyum. “Kita pergi,”kata Hafiz.
     Fajar tersenyum.Mereka bertiga berlari mendapatkan Khazin,Naufal dan Dayana.Setelah Hafiz,Inarah dan Fajar memegang lengan Khazin,Dayana dan Naufal,mereka bertiga melompat ke atas dan melompat sambil terbang dari satu dahan ke dahan pokok yang lain.

                             *          *          *          *          *
Markas Polis Dimensi (MPD),Dimensi Mena
     Chief Inspektor Mahdi membuka komputer hologramnya.Maklumat-maklumat yang terpapar dalam skrin hologram itu dibacanya dengan teliti.Lelaki berusia pertengahan 20-an tersenyum sendirian setelah selesai membacanya.
     “Chief...”Chief Inspektor Mahdi tersentak mendengar ada orang memanggilnya.Inspektor Rahend rupanya.
     “Chief panggil saya?”Tanya Inspektor Rahend pula.
     “Ah ya!”Chief Inspektor Mahdi mengiyakan sambil berdiri. “Arahkan kepada beberapa orang pegawai supaya bersiap-sedia.Misi budak-budak tu dah hampir selesai.”
     Inspektor Rahend mengangkat kening. “Bagaimana Chief tahu?”
     “Saya baru terima maklumat dari Satelit Jarak Jauh.Mereka dalam perjalanan mencari Genolis-Genolis tu sekarang.Saya yakin misi mereka dah hampir selesai.”
     “Selalunya kita akan ke sana bila mereka dah hubungi kita?”
     “Memanglah,”akui chief inspektor itu. “Itu semasa arwah Widad dan Yusra masih ada.Walaupun saya dah bagi isyarat permata kepada dua orang manusia terpilih tu,tak ada masalahkan kalau kita bersiap-sedia?”
     Inspektor Rahend mengukir senyuman nipis seraya menganggukkan kepala.Dia menghormati keputusan pegawai yang berpangkat lebih tinggi daripadanya itu.Dia tahu Chief Inspektor Mahdi tidak akan menyusahkan anggota-anggotanya.
     “Sudah,pergi beritahu mereka sekarang!”
     “Baik,Chief!”Inspektor Rahend menurut perintah lalu beredar dari situ.
     Chief Inspektor Mahdi kembali menghadap komputer hologramnya.Maklumat-maklumat yang terpapar di skrin hologram diperhatikannya sekali lagi.
     “Aku harap tak banyak lagi misi yang mereka hadapi,”bisiknya sendirian dengan penuh menghrap.

                             *          *          *          *          *
Di satu tempat yang gelap,Dimensi Mena
     Musyary berdiri tidak bergerak di dalam kegelapan itu.Lelaki Genolis itu memusatkan seluruh tenaganya di situ.Chakra Genolis yang ada dalam dirinya dikumpulkan sebaik mungkin.
     “Musyary,kau pasti kau nak praktis lagi?”Kedengaran suara Hanz di dalam telinganya.
     “Aku tahu apa yang aku buat,Hanz,”kata Musyary dengan bersungguh-sungguh.
     “Baik,kalau itu yang kau nak,”Hanz akur.Suaranya lenyap kemudiannya.
     Sekarang Musyary keseorangan di dalam kegelapan itu.Dia memasang langkah dan gerak badan,tangan serta kakinya lagak seperti seni senaman Taichi.Aura-aura disekelilingnya masuk ke dalam tubuhnya.Dalam beberapa minit itu,dia khusyuk dengan ‘aktivitinya’ itu.
     “Semuanya diwarisi abangku,Muflih,”dia tersenyum sendirian. “Akan kulunaskan dendam itu hari ini juga.”
     Dengan penuh langkah kesenian,Musyary menggerakkan kedua-dua tangannya.Kemudian,semasa dia menghalakan kedua-dua tapak tangannya ke hadapan,dia menderam kasar.
     “Kenapa Mus?”Suara Hanz kedengaran kembali.
     Sambil menderam,Musyary bersuara, “Budak-budak tu dah hampir sampai,”dia ketawa menyeringai. “Aku nak kau semua jangan sekali-kali beri peluang walaupun mereka masih mentah!”
     “Faham!”Suara Hanz hilang kembali.
     Musyary menderam lagi.Aura-aura yang masuk ke dalam tubuhnya benar-benar memberi efek pada tubuhnya sementara dia menyesuaikan diri.Apa yang pasti,dia mahu menggunakan salah satu abiliti itu untuk mengenakan musuhnya...seperti mana yang dilakukan oleh abangnya dahulu.

                             *          *          *          *          *
Di dalam hutan,Dimensi Mena
     Hafiz,Fajar dan Inarah memperlahankan lompatan sambil terbang mereka di dalam hutan itu untuk mencari kelibat Musyary dan rakan-rakannya yang lain.Destinasi mereka ialah kawasan di mana Fajar pernah menyelematkan Khalil.Mereka percaya Musyary dan rakan-rakannya mungkin ada di sana.
     Beberapa minit kemudian,mereka sampai ke tempat lapang itu dengan diketuai oleh Fajar kerana dia yang menunjukkan jalan ke tempat itu.Sangkaan mereka meleset.Baik Musyary,baik Faruk,baik Hanz dan baik Gomez,tiada seorang pun salah seorang daripada mereka berada di situ.Masing-masing mendarat dengan perasaan sedikit kecewa.
     “Mana mereka ni?Seorang pun tak ada,”rungut Naufal sambil mencekak pinggang.
     “Mungkin aku silap.Mereka tak ada di sini,”kata Fajar pula.
     “Habis,mereka di mana?”Dayana menyoal.
     Masing-masing membisu.Tiada siapa pun yang dapat menjawab soalan Dayana itu.Suasana sunyi seketika.
     Dalam suasana sunyi itu,Inarah yang sedang berdiri menyandarkan tubuhnya pada sebatang pokok yang berada di situ.Entah kenapa dia terasa seperti ada benda melekit pada bahagian belakang bajunya.
     “Ah!”Dia menjerit kecil memecahkan kesunyian di situ.Dia sudah tidak bersandar lagi.
     Hafiz dan yang lain memandang ke arahnya dan bertanya mengapa dia menjerit begitu.
     “Ada benda melekit dekat belakang baju aku,”beritahu Inarah sambil meraba-raba belakang badannya.
     “Melekit?”Ulang Khazin.
    Sementara itu,Hafiz di sebelahnya seperti ternampak sesuatu yang melekat pada batang pokok yang disandar Inarah tadi.Lantas dia berlari ke arahnya untuk mengenalpasti apakah benda itu.
     Tiba sahaja dia di hadapan pokok itu,dia memerhatikan seperti ada sedikit kesan lekuk dan juga kesan berwarna merah yang kelihatan kering.Dengan perasaan curiga,Hafiz mencalitkan sedikit kesan berwarna merah itu dengan jari telunjuknya lalu dihidunya.
     “Darah,”kata Hafiz mengejutkan Inarah yang berada di hadapannya itu.
     “Darah?”Ulang Inarah dibalas dengan aggukan Hafiz.
     “Bukan itu saja,ada kesan lekuk di sini.Macam kena hentak dengan sesuatu,”tambah Hafiz lagi.
     “Itu pokok tempat Khalil diikat dengan Tali Haba Halimunan,”Fajar menyampuk.
     “Yakah?”Hafiz menginginkan kepastian.
     Fajar mengangguk. “Tapi waktu aku selamatkan dia,aku tak perasan pula ada kesan-kesan itu.”
     “Apa makna kesan-kesan tu?”Tanya Dayana.
     “Kesan lekuk tu mungkin bermakna Khalil menghentak-hentakkan badannya pada pokok ni untuk melepaskan diri sebab itulah yang dia buat sebelum beberapa minit aku datang selamatkannya,”beritahu Fajar. “kesan darah itu pula mungkin dia dibelasah teruk oleh Musyary dan geng dia tu.”
     “Sampai macam tu sekali Genolis-Genolis tu seksa abang aku!Kejam betul!”Marah Khazin sambil menumbuk tangannya.
     “Kalau kita ada kesan itupun tak guna sebab mereka bukannya ada di sini,”Naufal mencelah.
     “Tunggu sekejap,”ujar Hafiz.Dia menyentuh kesan darah yang kering itu dengan tapak tangan kirinya.
     Inarah yang berada berdekatan dengannya memerhatikan tindak-tanduknya itu dengan perasaan ingin tahu.Apa pula yang Hafiz mahu lakukan?Gadis itu berfikir sendirian manakala Fajar,Khazin,Naufal dan Dayana hanya memandang.
     Hafiz pula kelihatan fokus sebaik sahaja tangan kirinya menyentuh kesan darah yang kering itu.Matanya dipejamkan rapat-rapay.Dia memfokuskan pandangannya terhadap sesuatu.
     Tiba-tiba Hafiz membuka matanya.Dia melepaskan sentuhannya pada kesan darah kering itu lalu berlari ke hadapan sambil menjerit, “Ikut aku!”
     Inarah,Fajar,Khazin,Naufal dan Dayana yang tercengang-cengang melihat kelakuan Hafiz itu sekadar mengikut tanpa sempat bertanya apa-apa.Mereka berlari meninggalkan tempat itu.
     Bagaimanapun sebelum mereka meninggalkan tempat itu,mereka tidak sedar di atas udara kawasan tempat mereka berada tadi,Gomez dan Faruk sedang memerhatikan mereka dengan senyuman sinis.

                             *          *          *          *          *         
     Mereka berenam sudah berlari jauh ke dalam hutan.Perasaan letih kian terasa tetapi mereka membuang perasaan itu jauh-jauh.Tidak ada masa untuk melayan perasaan itu kerana sekarang mereka berada dalam petempuran.
     “Kau nak bawa kami ke mana ni?”Tanya Inarah.
     “Dalam hutan ni ada sebatang sungai.Khalil ada di sana,”jawab Hafiz mula tercungap-cungap.     
     “Hah,macam mana kau tahu?”Tanya Dayana pula.
     “Alah,ikut saja!”Balas Hafiz.
     Mereka terus berlari dan berlari.Setelah beberapa lama mereka berlari,tiba-tiba Hafiz yang berlari di hadapan sekali menghentikan lariannya secara mengejut membuatkan Fajar yang berlari di belakangnya terlanggarnya.Mereka berdua jatuh tersembam.
     Inarah,Naufal,Dayana dan Khazin berhenti serta-merta.Mereka merenung Hafiz dan Fajar dengan renungan selamba.Hafiz dan Fajar bangun dari jatuh mereka.
     “Woi,lain kali tengok depanlah!”Marah Hafiz.
     “Kau tu brek mengejut!Bagilah salam dulu!”Balas Fajar tidak mahu mengalah.
     “Kalau dah nampak aku berhenti dekat depan pandai-pandailah brek sendiri!Buta ke apa!”
     “Wah,kau kata aku buta?Baik kau kena minta maaf dengan aku!”
     “Buat apa aku nak minta maaf dengan kau!Aku tak buat salah!”
     “Tak salah kau kata?Kau ni nak cari gaduh ke apa hah?”
     “Apa?Nak gaduh?Jomlah!Aku kasi penumbuk kau pengsan tak bangun dah!”
     “Alah,pengsan konon!Ini...aku kasi penumbuk halilintar aku,kau terbang melayang sampai ke langit!”
     Sesudah Fajar menghabiskan ayatnya,dia dan Hafiz terasa hujung bawah leher mereka dicekak seseorang.Dahi mereka bertembung kemudiannya.Walaupun hantukan itu tidak sekuat mana,spontan Hafiz dan Fajar memegang dahi mereka sambil mengaduh kesakitan.
     “Penumbuk pengsan dan penumbuk halilintar ya?Sekarang aku bagi hantukan maut aku.Sedap tak?”Rupa-rupanya itu ‘kerja’ Inarah yang bengang melihat mereka berdua bergaduh tadi.
     “Sibuklah kau ni Ina,”rungut Hafiz sambil mengurut-urut dahinya.
     “Entah!Nasib baik jambul aku tak rosak!”Rungut Fajar pula.
     “Kau berdua perangai macam budak-budak!Benda kecil pun nak bergaduh!Tak senonoh sungguh!”Inarah terus berleter sehingga Hafiz dan Fajar tidak ambil peduli akan isi leteran itu.
     Naufal,Khazin dan Dayana sekadar menggeleng-gelengkan kepala.Hafiz dan Fajar menjeling Inarah.
     “Dia memang macam ni ke?”Tanya Fajar dengan nada berbisik.
     Hafiz mengangkat kening. “Tak juga.Cuma biasalah.Dia pegang jawatan pengawas di sekolah.Jadi bila nampak orang buat salah,lebih kurang beginilah tegurannya,”beritahunya sambil menghela nafas.
     “Heh,harap muka saja lawa!”Fajar mencebik. “Tak faham aku macam mana kau boleh anggap dia precious friend kau?”Fajar meperlahankan suaranya.
     Hafiz memandang Fajar. “Kau ada kata apa-apa ke tadi?”Soalnya.
     Fajar menghela nafas. “Tak ada apa-apa,”balasnya selamba.
     Hafiz mengangkat kening sebelum dia berjalan mendekati Inarah. “Hei,cik kak!Ini bukannya masa untuk membebel.Ada lagi penting daripada tu!”Tegur Hafiz menyebabkan Inarah berhenti berleter.
     “Hah,apa dia?”Tanya Inarah,merenung Hafiz sinis.
     Hafiz tidak menjawab sebaliknya memandang ke atas.Inarah,Fajar,Khazin,Naufal dan Dayana juga turut memandang ke atas.Masing-masing membeliakkan mata.Terkejut.
     Kelihatan Hanz sedang terapung-apung di udara sambil memandang mereka dengan senyuman sinis.Selepas itu,mereka berenam sedar pula akan kedatangan Faruk dan Gomez di belakang mereka.
     Keenam-enam remaja itu membisu.Masing-masing terkejut dengan kemunculan mendadak ketiga-tiga Genolis itu.

No comments:

Post a Comment