Friday, March 25, 2011

BAB 13


Waktu senja,Suite Lubaid,Hotel Kistina,Kota Batu Karang
JAM elektrik yang terletak di atas meja telefon menunjukkan tepat pukul tujuh malam.Tinggal lagi sepuluh minit masuk waktu Maghrib.Suasana dalam suite itu hingar dengan perbualan Tok Bazil,Lubaid,Adam dan lain-lain.
   Pintu suite dibuka.Kelihatan Adam masuk ke dalam dengan tangannya memegang beg plastik.Dia berjalan ke arah Hafiy yang ketika itu berbual-bual dengan Robert,Malik dan Kay.
   “Aku beli kuih,jom makan!”Ajak Adam sambil meletakkan beg plastik yang berisi kuih-muih di hadapan sekumpulan lelaki itu.
   “Cantiklah,Adam!Aku pun lapar ni!”Tiba-tiba Dali mencelah di tengah-tengah kumpulan itu.
   “Hoi,Nazdali Musa!Jangan gelojohlah!”Teriak Adam sambil menampar belakang Dali.
   Dali tidak mempedulikan Adam.Dia terus mengambil salah satu daripada kuih-muih tersebut lalu memakannya.Robert,Kay,Malik dan Hafiy sekadar menggeleng sahaja memandang telatah Dali itu.
   Adam memandang Tok Bazil dan Lubaid yang duduk di hadapan televisyen.Kedua-dua beradik itu seperti berbincang sesuatu.Tertarik dengan reaksi kedua-dua beradik itu,pemuda itu berjalan mendapatkan mereka.
   “Apa tok berdua buat ni?”Tanya Adam pula mengejutkan Tok Bazil dan Lubaid.
   “Kau Adam.Tak...kami cuma bincang pasal senjata yang nak digunakan esok.Lubaid ada beberapa senjata yang dia simpan masa masuk tentera dulu,”jawab Tok Bazil.
   “Tapi,ia tak mungkin dapat lawan kuasa Genolis,”ujar Adam tidak yakin.
   “Jangan macam tu.Kita kena ikhitiar.Genolis tu manusia juga Adam.Mereka pun ada kelemahan.Kalau kita pandai cari kelemahan mereka,Insya Allah kita boleh kalahkan mereka.Ingat,semua ni berlaku dengan izin Tuhan,”Lubaid berhujah dengan suara lembut.
   Adam mengangguk-angguk.Dia berjalan menuju ke tingkap suite tersebut.Dia memandang ke bawah melalui tingkap itu.Kelihatan orang ramai yang berkemungkinan besar merupakan penduduk Batu Karang berjalan berpusu-pusu di luar sana.
   “Ramainya orang,”kata Adam.
   Lubaid berjalan mendapatkan Adam. “Itu mesti mereka nak ke Dewan Killi dan Dewan Milli di penghujung kota ni.Kan petang tadi presiden kota ni ada buat pengumuman pasal ni.”
   “Ya tak ya,”Adam mengangguk lagi. “Habis,tok tak nak pergi ke?Kami rasa baik tok pergi sana.Biar kami saja di sini.Tok berdua mungkin dah tak mampu nak melawan.”
   “Tidak,Adam.Kami juga hendak mempertahankan kota ni.Sekurang-kurangnya kami dapat menghalangnya daripada musnah,”sampuk Tok Bazil.
   “Tapi tok...”
   “Jangan risau.Kami takkan apa-apa,”Tok Bazil tersenyum tenang.
   Adam menghembus nafas kasar.Berat hatinya untuk melihat kedua-dua lelaki yang sudah tua itu bertempur.
   “Kita tak boleh keluar dari sini.Sekarang ni pihak keamanan kota sedang meronda.Kalau mereka nampak kita masih di sini,tentu mereka akan paksa kita ke dewan tu,”ujar Lubaid sambil memandang beberapa pihak keamanan kota yang terdiri daripada polis dan tentera sedang meronda dan memerhatikan keadaan di luar sana melalui tingkap suite.Mereka sedang mengawal orang ramai yang berpusu-pusu menuju ke Dewan Milli atau Dewan Killi.
   Adam mengangguk lagi.
   “Tok Lubaid,”tiba-tiba Malik mencelah. “Mana Jalani?Dia tak ada pun kat sini?”
   Lubaid tersenyum. “Dia ke pergi ke dewan.Dia tak boleh sertai kita.Dia tak tahu bab-bab bertempur ni.”
   “Dia pergi sana?Seorang?”
   Lubaid menggeleng. “Budak lima orang tu yang bawa dia.”
   Adam memandang Lubaid. “Tadi tok kata tak boleh keluar dari sini?”Tanyanya hairan.
   “Jangan risau,”kata Lubaid. “Mereka tahulah apa mereka buat.Lagipun,mereka sendiri sukarela nak hantar Jalani.”
   Adam dan Malik berpandangan sesama sendiri.

Hadapan Dewan Killi,penghujung Kota Batu Karang
   Dewan Killi cuma terletak bersebelahan dengan Dewan Milli.Jaraknya tidak jauh,kira-kira 20 meter jaraknya.Ramai orang yang terdiri daripada penduduk Kota Batu Karang bersesak-sesak untuk masuk ke dalam salah-satu dewan tersebut.Dewan itu besar memuatkan berpuluh-puluh ribu penduduk Kota Batu Karang.Sememangnya ia dibina khas untuk kejadian yang tidak diingini.
   Di celah-celah orang ramai tersebut,terdapat lima orang remaja dan seorang budak.Lima remaja itu ialah Hafiz,Naufal,Inarah,Khazin dan Dayana serta budak itu ialah Jalani.Mereka memandang ke arah Dewan Killi yang berada beberapa meter di hadapan mereka.
   Jalani menggalas beg pakaiannya.Dia memandang kelima-lima remaja itu.
   “Terima kasih,abang,kakak,”ucapnya.
   “Pergi cepat,Lani.Nanti sesak lagi dewan tu,”suruh Inarah.
   “Lani tahu.Tapi,kakak dengan abang pasti ke tak nak masuk sekali?Tok Lubaid pun tak nak pergi.”Soal Jalani menginginkan kepastian.Wajahnya sayu.
   Hafiz duduk sama paras dengan ketinggian budak itu lalu memegang kedua-dua bahunya.Dia tersenyum,wajahnya tenang.
   “Kami nak lindungi kota ni.Mungkin pertempuran menyebabkan beberapa bangunan musnah,tapi sekurang-kurangnya kami dapat menghalang daripada kota ni lenyap terus.Lagipun,Genolis tu memang patut dihalang,”katanya lembut.
   Jalani menundukkan mukanya.
   “Dahlah,Lani.Jangan sedih lagi.Lani kena yakin pada kami.Insya Allah,kami akan selamat,”kata Khazin pula.
   Jalani mengangkat mukanya.Matanya memandang satu persatu wajah kelima-lima remaja itu.Dia menarik nafas dan menghembuskannya.
   “Baiklah,hati-hati.Tolong kirim salam pada Tok Lubaid dengan yang lain,”Jalani akhirnya akur.
   “Kami kirimkan,”jawab Inarah.
   Jalani melangkah ke hadapan menuju ke Dewan Killi di hadapan mereka.Semasa berjalan,dia sempat menoleh ke belakang lalu melambai-lambaikan tangannya ke arah kelima-lima remaja itu.Mereka berlima membalas lambaian tersebut.
   “Kau rasa penduduk Mena boleh selamat ke tinggal dalam dewan tu?”Tanya Naufal ragu-ragu.
   “Alah,tak apa!Orang Genolis bukannya tahu pasal dewan-dewan ni.Dewan-dewan ini pun dibina di penghujung kota ni.Insya Allah semuanya akan selamat,”balas Khazin sambil menumbuk perlahan bahu Naufal.
   Naufal tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
   “Jom kita balik cepat!Nanti mereka nampak kita mesti disuruh kita masuk pula,”gesa Dayana.
   “Ya,”jawab Hafiz.
   Mereka berlima terus bergerak meninggalkan tempat tersebut.Pergerakan mereka agak sukar kerana ramai orang ketika itu.
   Tanpa mereka sedari,di celah-celah orang ramai itu terdapat sepasang mata memerhatikan mereka.Bagaimanapun,matanya tertumpu kepada Hafiz.

Waktu malam, Hotel Kistina,Kota Batu Karang
   Suasana di seluruh hotel itu sunyi sepi.Lampu hotel semuanya dipadamkan menandakan tiada sesiapa lagi penginap di dalamnya.Walaubagaimanapun,itu cuma andaian bagi sesiapa yang melihatnya dari luar hotel.Mereka tidak sedar,masih ada penghuni di dalamnya.
   Lubaid,Robert,Kay,Malik,Tok Bazil dan tiga anak buahnya bersama Hafiz,Inarah,Naufal,Dayana dan Khazin masih berada di dalam.Lampu suite Lubaid sengaja ditutupkan supaya pihak keamanan kota yang melihat di luar tidak akan menyangka bahawa suite itu masih diduduki orang.Suite itu hanya diterangi beberapa lampu cahaya kuning.
   Inarah dan Dayana berada di tempat kaunter hotel yang terletak di tingkat paling bawah sekali,iaitu berhadapan dengan pintu utama hotel.Pintu utama hotel yang ditutupi langsir itu diselak Inarah.Dia melihat beberapa pihak keamanan kota yang terdiri daripada askar nampaknya sedang memulakan latihan tempur.
   Inarah dan Dayana berpandangan.Nampak gayanya pihak keamanan kota begitu serius ingin menjaga kota mereka.
   “Takkan kita nak berkurung di sini saja?”Tanya Dayana.
   “Kita tak ada cara lain.Kalau mereka nampak,mesti kita kena tahan dalam dewan tu.Aku datang ke Mena bukan untuk ditahan di sana,”balas Inarah.
   “Kau ada terfikir tak,ada baiknya kita ceritakan pada mereka tentang penglibatan kita esok.Senang sikit kerja kita.”
   “Kau nak aku beritahu yang aku dengan Hafiz bukan dari Mena?”
   “Bukan macam tu.Kita beritahu mereka yang kita akan tolong mereka.Genolis tu bukan calang-calang manusia.Aku yakin mereka mesti boleh terima.”
   Inarah menggeleng. “Kalau Adam,Tok Bazil dan lain-lain mungkin mereka terima.Aku tak rasa mereka benarkan budak berumur belasan tahun terlibat dalam hal ni,”ujarnya.
   Dayana diam dan berfikir seketika.Mungkin ada betulnya kata-kata Inarah itu.
   “Tak payah risau,”kata Inarah lalu berjalan ke arah kaunter hotel. “Esok masa serangan tu,kita pergi sajalah sertai mereka.Kalau mereka nak halang,pedulikan saja.Yang penting,misi ni selesai.Aku pun tak sabar nak rehat di rumah,”Inarah bersandar di dinding belakang kaunter.Malangnya,semasa dia meletakkan tapak tangannya ke dinding,tangannya tertekan suis lampu untuk ruang kaunter tersebut.Serta-merta lampu-lampu di ruang kaunter itu menyala.
   Pihak keamanan kota yang berada di luar Hotel Kistina ternampak cahaya lampu yang tiba-tiba terpasang itu.Mereka mula mengesyaki sesuatu.
   “Ada orang!”Salah seorang daripada mereka bersuara.
   “Mari!”Jawab seorang lagi.
   Sementara itu di ruang kaunter hotel,Inarah dan Dayana menggelabah. “Alamak,Ina!Apa kau buat ni?”Teriak Dayana cemas.
   Perasaan kesal menyelubungi diri Inarah.“Aku minta maaf.Aku...”Belum sempat Inarah menghabiskan ayatnya,kedengaran pintu utama hotel diketuk-ketuk.
   “Ada sesiapa di dalam?Tolong keluar sebelum kami pecah masuk!”Kedengaran satu suara garau dari luar.
   Dayana memandang Inarah. “Tutup balik lampu!”
   Inarah menggeleng-gelengkan kepalanya. “Dah terlambat,mereka dah tahu,”jawab Inarah menggeletar.Perasaannya berbelah-bahagi sama ada hendak berdiam diri sahaja atau menjawab panggilan itu.
   Sementara itu di suite Lubaid,Hafiz dan lain-lain terdengar kekecohan di luar sana.
   “Apa yang kecoh di luar tu?”Tanya Robert.
   “Biar saya pergi tengok,”kata Hafiz lalu menuju ke tingkap suite.Dia membuka tingkap dan menjenguk ke bawah.Kelihatan lebih kurang sepuluh orang berseragam hijau tua berada di hadapan pintu utama hotel.
   “Itu pihak keamanan kota,”beritahu Malik yang tiba-tiba berada di sebelah Hafiz.
   “Inarah dan Dayana,”Hafiz memandang Malik. “Mereka ada di tempat kaunter tu,kan?”
   Malik membulatkan matanya. “Takkanlah...”
   “Kenapa?”Sampuk Naufal.
   “Pihak keamanan kota tengah berkumpul dekat depan pintu hotel ni.Inarah dengan Dayana ada di sana sekarang,”beritahu Hafiz.
   “Takkan...mereka dah tahu?Tapi,macam mana?”Soal Hafiy pula.
   “Tak apa,”Lubaid bersuara. “Biar saya pergi tengok.Abang Bazil,abang ikut saya.Hafiz,kamu pun sama.Mungkin kamu diperlukan nanti.Yang lain tunggu sini,”perintah Lubaid.Mereka yang lain kecuali Tok Bazil dan Hafiz mengangguk.
   Lubaid,Tok Bazil dan Hafiz keluar dari suite itu dan menuju ke tingkat paling bawah dengan menaiki lif.Setibanya mereka di bawah,mereka ternampak Dayana berdiri di hadapan pintu hotel yang ditutup dengan langsir.
   “Dayana!”Panggil Hafiz.
   Dayana menoleh. “Hafiz!Tok Bazil!Tok Lubaid!”Panggilnya pula,gembira melihat ketiga-tiga mereka di situ.
   “Inarah mana?”Tanya Tok Bazil.
   Dayana menunjukkan ke arah kaunter.Apabila mereka bertiga menoleh,kelihatan Inarah sedang menakup mukanya di atas meja kaunter dengan kedua-dua tangannya bersilang.
   “Semua ni salah aku.Aku minta maaf,”Inarah bersuara lemah.
   “Apa kamu cakap ni?”Tanya Tok Bazil hairan.
   “Saya tak sengaja terpasang lampu.Mereka semua mesti dah syak ada orang kat dalam ni,”balas Inarah lalu mengangkat mukanya.
   Hafiz,Tok Bazil dan Lubaid.Barulah mereka perasan,semua lampu di ruang kaunter,tempat mereka duduki sekarang telah terpasang.
   Tiba-tiba pintu utama hotel itu dibuka.Lebih kurang sepuluh orang pihak keamanan kota memecah masuk.Pintu yang diperbuat daripada cermin itu sedikit retak.
   Tok Bazil,Lubaid,Hafiz dan Dayana berundur beberapa tapak ke belakang.Inarah yang masih berada di meja kaunter terkesima.Hatinya masih terasa bersalah atas kejadian tersebut.
   “Apa kau semua buat di sini?Patutnya kau semua berada di Dewan Killi atau Dewan Milli sekarang!”Tegas salah seorang daripada mereka.Tok Bazil sempat menjeling pada pangkatnya yang diletakkan pada bahagian bahu baju seragamnya,dia berpangkat Leftenan.
   “Dengar dulu,tuan.Kami berada di sini pun ada sebab,”Lubaid berkata tenang.
   “Sebab apa?Saya nak sebab tu munasabah!”
   Tok Bazil dan Lubaid berpandangan.Mereka berdua tidak pasti patutkah mereka memberitahu hal sebenar.
   “Kami nak ikut tuan bertempur sekali esok!”Mereka terperanjat mendengar kelancangan mulut Hafiz bersuara.Hafiz memandang Leftenan Munir tajam.
   “Apa?Jangan nak merepek?Mana boleh saya benarkan sedangkan kamu masih budak!Kalau kamu bukan budak sekalipun,saya tak akan benarkan.Kamu orang awam!”Leftenan itu menolak dengan nada suara yang tinggi dan tegas.
   “Saya bukan orang sini!Saya dan kawan-kawan saya datang dari jauh semata-mata nak bertembung dengan Jabran tu!”Tegas Hafiz lagi dengan serius.
   “Jabran?”
   Hafiz mengangguk.Wajahnya serius memandang lelaki berpangkat leftenan tersebut.
   “Sudahlah..Kapten Asyqar dengan Presiden Safaraz dah datang.Biar mereka selesaikan,”salah seorang rakan leftenan itu  menyampuk menenangkan angin rakan yang sama pangkat dengannya itu.           Leftenan Munir menoleh ke belakang.Memang benar,Presiden Safaraz dan Kapten Asyqar berjalan menuju ke arah mereka.Presiden Safaraz merenung Lubaid.Dia tersenyum.
   “Lama tak jumpa,Lubaid,”Presiden Safaraz menghulurkan tangan untuk bersalam.
   “Betul tu,”sambut Lubaid. “Perkenalkan ini abang saya,Bazil,sebelah aku ni Hafiz,Dayana dan di kaunter itu Inarah.”
   Semua anggota keamanan kota di situ membeliakkan mata kerana terkejut.Mereka tidak menyangka presiden kota itu mengenali lelaki tua separuh umur itu.
   Presiden Safaraz memandang Hafiz. “Berani betul kamu melawan pihak keamanan kota,ya?”
   Hafiz diam sahaja sambil memalingkan wajahnya.
   “Jangan risau,saya tak marah,”kata presiden kota itu. “Cuma saya rasa saya pernah dengar cara kamu marah tu.Kalau tak silap,dari siaran tv lebih kurang pukul dua lebih petang tadi.”
   “Tuan nak beritahu suara saya yang bercakap dengan lelaki dalam tv petang tadi?”Soal Hafiz.
   “Ya,ya...betul.Saya pasti kamu orangnya,”kenyataan yang dibuat menambahkan kejutan anggota-anggota pihak keamanan kota tersebut.
   “Apa lelaki tu nak daripada kamu?Siapa kamu sebenarnya dan kenapa kamu buat begini?”
   Hafiz menarik nafas.Dia memandang Inarah yang masih berdiri di meja kaunter.Inarah hanya mengangguk.
   Hafiz memandang presiden kota itu kembali. “Saya cuma boleh beritahu,saya datang untuk jalankan tugas.Misi saya ialah menewaskan Genolis yang bakal menyerang kota ni esok tengahhari.Saya tahu encik-encik tak berapa percayakan saya tapi saya tetap akan jalankan tanggungjawab saya,dan bukan saya saja,kawan-kawan saya yang lain akan pergi sama,”tegas Hafiz.
   Presiden Safaraz sekadar tersenyum.Dia memegang bahu anak muda di hadapannya itu.Dia mendapati anak muda itu kuat semangat dan tidak mudah putus asa.
   “Asyqar,”panggil Presiden Safaraz. “Kita akan masukkan budak ni dan kawan-kawannya dalam pertempuran esok.”
   Tuan Asyqar dan anak-anak buahnya yang lain terkejut,manakala Hafiz,Tok Bazil,Lubaid dan Dayana mengukir senyuman tidak percaya.Inarah yang mendengar mula berjalan mendapati mereka.
   “Tapi,tuan presiden!Mereka...”
   “Saya yang ketuai kamu semua!Jangan bantah!”Tegas Presiden Safaraz dengan pandangan tajam.Kapten Asyqar dan anak-anak buahnya terus membisu.
   “Tuan pasti ke?”Lubaid menginginkan kepastian.
   “Kau nak aku ulang seribu kali ke?”Gurau presiden kota itu.
   “Hei!”Panggil Inarah yang sudah berada di tengah-tengah Hafiz dan Dayana.
   “Ini semua sebab kau,Inarah!Kami memang patut ucapkan terima kasih pada kau!”Dayana bersuara riang.
   “Nanti dulu!Masih terlalu awal nak ucap terima kasih.Serangan tu tak bermula lagi.Jangan excited sangat,”celah Hafiz sambil menjeling tajam kedua-kedua gadis itu.
   “Dengki!”bisik Dayana kepada Inarah.Inarah ketawa terkekeh-kekeh.
   “Kami ingat nak beritahu pada kawan-kawan kami yang lain.Kami pergi dulu!”Kata Lubaid.
   “Kau berdua!Ikut mereka naik ke atas!Awasi mereka!”Kapten Asyqar memberi arahan kepada kedua-dua anak buahnya yang berpangkat leftenan tadi merujuk kepada Tok Bazil,Lubaid,Inarah,Hafiz dan Dayana.
   Kedua-dua tentera berpangkat leftenan itu akur dengan arahan tersebut.Mereka membontoti langkah dua orang lelaki separuh umur dan tiga orang remaja tersebut.
   Presiden Safaraz dan Kapten Asyqar mengarahkan anak-anak buah yang lain sambung dengan kerja masing-masing.Mereka perlu bersiap-sedia dengan serangan esok.
   Kapten Asyqar mencuit bahu Presiden Safaraz. “Tuan pasti ke apa yang tuan buat ni?”
   Presiden Safaraz merenung kapten itu tajam. “Kau ragu-ragu dengan keputusan saya ke?”
   “Eh,mana ada tuan!Saya...cuma nak kepastian...”
   Presiden Safaraz ketawa kecil. “Budak lelaki tu bukan budak biasa,Asyqar.Kalau tak,kenapa lelaki Genolis dalam tv petang tadi cari dia.Kau bukannya tak tahu,Genolis tak macam kita.”
   “Dia tetap masih budak,tuan.”
   “Kalau sekilas pandang,memang kita nampak dia masih budak.Hakikatnya,dia seorang remaja belasan tahun.Seorang remaja yang sudah tahu apa yang baik,apa yang buruk.Dia pun nampak bersungguh-sungguh.Tak elok kalau kita kecewakan dia.”
   Kapten Asyqar terdiam kerana sudah kehilangan kata-kata.Dia memang tidak menafikan kesungguhan remaja lelaki yang dilihatnya tadi.Cuma dia masih tertanya-tanya,siapa sebenarnya anak muda itu dan kenapa orang Genolis benar-benar hendak berjumpa dengannya?Mesti ada sebab lain.

                           *          *          *          *          *
Makmal Persendirian Jabran dalam Markas Berbatu
   Jabran mematikan suis komputer yang menunjukkan peta Kota Batu Karang.Dia sudah beberapa kali memerhatikan peta tersebut.Dia sebenarnya tiada apa-apa perancangan.Dia cuma berasa gembira kerana apabila fasa kedua perancangannya sudah selesai,dia akan terus ke fasa ketiga,iaitu menyerang tempat lain pula.
   Walau begitu,dia tidak yakin sama ada fasa kedua ini akan berjaya kerana kali ini pahlawan Mena telah muncul.Pasti kerjanya akan bertambah sukar.Namun,dia nekad.Dia akan berlawan habis-habisan biarpun terpaksa mengorbankan anak buahnya sendiri.Betapa kejinya perbuatannya itu.
   Jabran mengambil sebuah kota kecil berwarna merah lalu dibukanya.Sebuah cip sebesar ibu jari berwarna hitam diambilnya.Dia meletakkan cip itu ke dalam satu mesin di dalam papan kekunci komputer.Kemudian,keluar huruf-huruf yang berterabur susunannya dan tidak boleh dieja.
   Jabran tersenyum lebar. “Selamat berkenalan,makhlukku sayang!”Jabran menekan satu butang merah dan perkataan ‘On’ bernyala.

Gua Dendaron
   Grraaauuu!!!Aauummmm!!!Ngauman kuat dan menyeramkan menggegarkan seluruh kawasan gua tersebut.Gegaran itu menyebabkan serpihan-serpihan batu jatuh dari siling gua jatuh.Semakin kuat ngauman itu,semakin kuat gegarannya.
   Makhluk-makhluk yang menjadi penghuni gua tersebut bertempiaran ke sana sini menambahkan lagi gegaran tersebut.Ia menghentak kaki,menanduk kepala sesama sendiri dan sebagainya.Makhluk-makhluk itu bertindak begitu kerana terasa seperti ada satu kejutan dari badan mereka.Mereka tidak sedar kejutan itu datangnya daripada cip-cip hitam yang dipasang Jabran dan konco-konconya dari jarak jauh sejak sebelum menyerang Kampung Fannani lagi.
   Beberapa minit kemudian,makhluk-makhluk itu berhenti.Mata mereka tiba-tiba merah menyala diikuti dengan bunyi ngauman.
   “Makhluk-makhlukku,dengar sini!”Terdengar satu suara dari telinga makhluk-makhluk tersebut.
   “Aku Jabran,tuan kau semua!”Suara itu memperkenalkan diri. “Mulai esok tengahhari,kita akan menyerang Kota Batu Karang!Serang habis-habisan!Bunuh banyak mana penduduk-penduduk di sana sesuka hati kau.
   Grrraauuu!!!Makhluk-makhluk itu mengaum lagi. “Kami ikut Tuan Jabran!!!”
   Kata-kata itu disambut dengan ngauman makhluk-makhluk yang lain.Makhluk-makhluk tersebut mengaum dan gegaran dalam gua berlaku lagi.

Makmal Persendirian Jabran dalam markas berbatu
   Jabran menekan sekali lagi butang merah menandakan perhubungannya dengan makhluk-makhluk itu diputuskan.Dia tersenyum puas.Jauh di sudut hatinya,dia tidak sabar menunggu hari esok.Esok,akan terjadi satu pertempuran besar dan dia sukakannya.Setiap pertempuran merupakan satu keseronokan.
   Jabran menyandarkan tubuhnya di atas kerusi.Pada masa itu juga,pintu automatik makmal persendiriannya dibuka.Kelihatan Naimi menarik kasar lengan seorang wanita berusia awal 40-an.Tudung yang dipakai oleh wanita itu sudah berserabut.
   “Tuan Jabran,saya dah bawa dia!”Lapor Naimi.
   Jabran memusingkan kerusinya dan tersenyum sinis apabila melihat wajah wanita yang ditarik Naimi itu.
   “Kita jumpa lagi,Puan Wada...oh,atau mungkin aku boleh panggil kau,emak kepada seorang anak yang tak boleh diharapkan.”
   Wanita yang dikenali sebagai Puan Wada itu mencebik. “Kau jangan kata Fajar macam tu.Dia anak yang baik!”Protesnya sambil meronta-ronta diminta dia dilepaskan tangannya yang masih dipegang Naimi.
   “Oh,ya ke!Pelik...kalau dia anak yang baik,kenapa dia tiba-tiba menghilang lepas bertarung dengan pahlawan Mena?Sepatutnya dia datang selamatkan kau,tapi dia menghilang entah ke mana.”
   “Aku yakin Fajar takkan tinggalkan aku!Dia akan datang selamatkan aku juga nanti!Anak aku bukan macam kau!Kau sanggup tidurkan aku dan seksa aku semata-mata nak anak aku ikut perintah kau.Kau memang tak patut dihukum!”
   Jabran ketawa terbahak-bahak.
   Naimi pula memandang wajah Puan Wada. “Puan,puan patutnya berterima kasih sebab Tuan Jabran tak bunuh puan.Kalau tak,jangan harap puan dapat berjumpa dengan anak puan lagi,”bisiknya sinis.
   Puan Wada sekali lagi mencebik. “Aku lebih rela mati daripada diseksa!Kalau itu caranya untuk Fajar selamat,aku rela!”
   “Wah,baik sungguh hati puan!Puan memang ibu mithali!”Jabran ketawa lagi diikuti dengan tawa Naimi.
   “Jangan risau,puan.Kami takkan bunuh puan sebab puan masih berguna untuk kami.Kami akan gunakan puan supaya Fajar datang kepada kami dan aku akan menghukumnya!”Ujar Jabran lagi masih belum berhenti ketawa,begitu juga Naimi.
   Puan Wada mendengus.Wajah anak lelakinya terbayang di fikirannya sekarang.Dia terkenang kenangan pahit manisnya bersama Fajar.Sejak kecil,Fajar memang anak yang baik tetapi nakal,dan kenakalannya itulah membuatkan naluri keibuannya bertambah gembira.Tambahan pula,Fajar adalah satu-satunya ‘harta’ yang dia ada sekarang setelah kematian suaminya..Air matanya mengalir mengingatkan kenangan manis itu.
   “Menangis pula?Hmm,menangislah puan!Kami tak halang.Lagipun,esok kami akan bawa puan bersama kami dalam serangan esok!Kami akan jadikan puan umpan!”Jabran memandang Naimi. “Bawa dia masuk ke dalam sangkar besi semula!”Arahnya.
   Naimi patuh seperti biasa.Lengan Puan Wada ditariknya kasar.Air mata Puan Wada masih mengalir.Hatinya sakit melihat wajah lelaki dan wanita yang memegangnya.“Fajar...”bisik hatinya sayu.
   Pintu automatik makmal persendirian Jabran ditutup sebaik sahaja Naimi dan Puan Wada melepasinya.

No comments:

Post a Comment