Saturday, March 26, 2011

BAB 14


MATA Fajar mengekor gerakan Faruk dan Gomez yang mengelilinginya itu.Dia masih berada di dalam bulatan elektriknya.Sengaja dia mengambil langkah bersiap-sedia supaya Faruk dan Gomez tidak dapat menyerangnya secara membuta-tuli nanti.
     “Budak macam kau ni berani nak menentang kami ya?”Tanya Gomez bernada perli.
     Fajar sekadar diam.
     “Kami cuma nak beritahu,kalau sakit nanti jangan mengadu dekat mak pula,”perli Faruk.
     Fajar tersengih sinis. “Yakah?Tapi jangan menangis air mata darah pula kalau aku kalahkan kau berdua sekaligus!Ingat,kau berdua berlawan dengan aku yang seorang...”
     Faruk dan Gomez mendengus marah mendengar perlian Fajar itu.Lantas Faruk melompat ke arah Fajar lalu menghentak tangannya ke arah bulatan elektrik yang mengelilingi Fajar itu.Bulatan elektrik itu pecah berderai seperti cermin pecah.
     Fajar agak tersentak sedikit.Tanpa disedarinya,Gomez meluru laju ke arahnya.Dia hanya perasan kehadiran Gomez ketika lelaki itu menendang pipi Fajar.Fajar tercampak jauh ke tepi.Tendangan kuat itu menyebabkan bibir Fajar berdarah sedikit.Darah itu dilapnya dengan lengan baju.
     Gomez dan Faruk berjalan mendekatinya dengan wajah sinis.
     “Sekarang siapa yang menangis?”Sengaja Gomez mahu memperhangatkan Fajar.
     Fajar langsung tidak mempedulikannya.Dia teleport dari situ dan muncul dengan kedua-dua tangannya menakup muka Gomez dan Faruk.Kedua-dua Genolis itu tercampak ke belakang.
     Sementara mereka berdua tercampak ke belakang itu,Fajar mengambil kesempatan itu dengan melompat ke udara lalu melontarkan bebola-bebola elektrik yang dihasilkannya ke arah Faruk dan Gomez.Akibat lontaran-lontaran itu,asap berkepul-kepul di udara.
     Asap-asap itu menganggu penglihatan Fajar terapung di udara.Fajar tidak nampak kelibat Faruk mahupun Gomez di dalam kepulan-kepulan asap itu.Dan disebabkan itu jugalah dia juga tidak nampak satu libasan merah meluncur ke arahnya dari bawah sana.Mujur ia tidak kena pada sasarannya.Fajar mengucap panjang dengan situasi itu.
     Kepulan-kepulan asap sudah beransur hilang.Nun di bawah sana kelibat Faruk dan Gomez sudah kelihatan.Tubuh mereka sudah sedikit tercedera tetapi ia cuma cedera ringan sahaja.Mereka masih mampu bergerak dan berlawan.Mata mereka merenung Fajar tajam.
     “Wow,kau memang Genolis suntikan yang hebat!Aku ingatkan Genolis suntikan ni cuma layak digelar hamba saja!”Gomez sekali lagi memperhangatkan Fajar.
     Ternyata Fajar sedikit ‘panas’ mendengar hinaan Gomez itu.Tetapi dia masih boleh bersabar.Dia mendarat ke bawah dengan laju lalu kedua-dua tangannya menghentak tanah.Sambaran-sambaran elektrik muncul dari tanah meyambar ke sana-sini.
     Seperti biasa,Faruk dan Gomez mengelak serangan-serangan itu dan kalau mereka terkena serangan itupun hanya sipi-sipi sahaja.Faruk dan Gomez serentak menghasilkan pedang samurai mereka.Dengan pedang samurai itu mereka menghasilkan beberapa libasan dan juga abiliti api ke arah Fajar.
     Fajar sempat membuat pelindung jingga kerana serangan itu sedikit lambat dari tempohnya.Bagaimanapun,ia hanya sebentar.Serangan-serangan seterusnya Fajar tidak dapat membuat pelindung jingga.Dia hanya mampu mengelak dan mengelak sambil cuba melontar bebola-bebola elektriknya.
     Serangan-serangan yang dihasilkan mereka bertiga telah menyebabkan beberapa pokok di situ tumbang.Tanah pula sudah berlubang-lubang akibat terkena serangan itu.Pokok-pokok yang tumbang mereka mengambil langkah berhati-hati supaya tidak menghempap mereka.
     Fajar mengambil langkah melompat ke udara dan terapung di atasnya.Dia mengumpulkan seluruh tenaganya lalu muncul satu bulatan elektrik besar mengelilingi tubuhnya.
     “Apa pula dia buat tu?Tak habis-habis lagi?”Faruk yang berada di bawah bersama Gomez mengomel sendirian.Gomez yang berada di sebelahnya sekadar mendiamkan diri.
     Fajar masih berada di dalam bulatan elektriknya.Setelah dia mendepakan kedua-dua tapak tangannya ke hadapan,bendalir-bendalir elektrik menyambar keluar dari bulatan itu.Faruk dan Gomez kaget seketika.
     “Arrgghhh!!!”Fajar menjerit lalu terbang meluncur ke bawah dengan laju!
    
                             *          *          *          *          *
MPD,Dimensi Mena
     Inspektor Rahend mengetuk pintu bilik bosnya,Chief Inspektor Mahdi.Di sebelahnya terdapat seorang pegawai wanita yang sama pangkat dengannya.Wanita itu berambut panjang dan diikat sanggul.Mata wanita itu pula agak sepet sedikit dengan kulitnya yang putih kekuning-kuningan.Tanda nama yang dipakainya tertulis ‘LUCY ANN’ tetapi lebih mesra digelar Ann.
     Terdengar suara menyebut ‘Masuk’ dari dalam setelah lima kali Inspektor Rahend mengetuk pintu.Bagaimanapun,sebelum itu mereka perlu meletakkan tapak tangan mereka pada Mesin Pengesan DNA yang diletakkan di satu sudut tepi pintu itu.Ia bertujuan untuk mengelakkan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.Lagipun,selagi DNA mereka tidak diperiksa,pintu bilik itu tidak boleh dibuka.Pintu itu terkunci di sebalik mesin tersebut.
     Setelah kedua-dua tapak tangan pegawai yang berpangkat inspektor itu dikesan sah oleh Mesin Pengesan DNA,barulah mereka masuk ke dalam.Kelihatan Chief Inspektor Mahdi sedang selesa duduk di atas kerusi tempatnya sambil meneliti komputer hologram di atas mejanya.Tumpuan dialihkan kepada kedua-dua pegawainya setelah mereka berdua masuk ke dalam.
     “Ada apa-apa,Rahend?Ann?”Tanya Chief Inspektor Mahdi sambil memandang mereka berdua dengan tenang.
     Inspektor Rahend tersenyum. “Saya sudah mengarahkan sepuluh orang pegawai bersiap-sedia untuk ke tempat misi tu seperti yang diarahkan tuan sebentar tadi,”lapornya.
     “Bagus!Ann?”Pandangan Chief Inspektor Mahdi beralih pula kepada pegawai wanita itu.
     “Saya juga sama seperti Rahend,tuan.Cuma dua orang pegawai tidak boleh sertai sekali kerana mereka perlu menguruskan hal-hal Genolis yang berada dalam penjara,tuan!”Lapor Inspektor Ann pula.
     Chief Inspektor Mahdi tersenyum. “Tak apa.Kali ini Genolis yang terlibat dalam misi ni cuma empat orang sahaja.Tak payahlah hantar ramai-ramai.”
     “Errr...tuan yakin ke nak pergi sekarang?Kalau kita sampai nanti takut mereka masih belum selesaikan misi mereka pula,”Inspektor Rahend meluahkan perasaan ragunya.
     “Jangan risau.Saya tahu apa yang saya buat.Misi mereka akan selesai tak lama saja lagi,”Chief Inspektor Mahdi tersenyum lagi.
     “Tuan pasti?”Tanya Inspektor Ann pula.
     “Ya!”Chief Inspektor Mahdi menjawab dengan yakin.
     Inspektor Rahend dan Inspektor Lucy tidak berkata apa-apa.Mereka saling berpandangan antara satu sama lain.
    
                             *          *          *          *          *
     Faruk dan Gomez tergamam melihat Fajar meluncur laju menghampiri mereka.Gomez sempat mengelak tetapi tidak Faruk.Fajar menghempap badan Faruk dengan bulatan elektrik yang masih ada padanya.
     Sewaktu Fajar sudah menghempap badan Faruk,bendalir-bendalir elektrik menyambar ke serata arah menyebabkan Gomez yang tidak bersedia dengan keadaan itu terkena salah satu sambaran itu.Gomez jatuh terduduk.Cas-cas elektrik membuatkan tubuhnya sedikit menggigil tetapi hanya sebentar.
     Sementara itu,Fajar menghasilkan bebola-bebola elektrik ke arah Faruk.Faruk menangkis dengan pedangnya.Kali ini dia terasa tangkisannya agak lemah berbanding tadi.Bebola-bebola elektrik itu seolah-olah lebih kuat berbanding tadi.
     “Apa dah jadi ni?”Tanya Faruk hairan setelah selesai menangkis kesemua bebola-bebola elektrik itu.
     Fajar ketawa terbahak-bahak.Sengaja dia membalas balik tawa jahat Faruk dan Gomez kepadanya tadi untuk memperhangatkan mereka.Biar mereka rasa!
     “Kau main-mainkan kami hah!”Sampuk Gomez marah.
     “Itulah kau berdua lembab!Sebenarnya aku tak buat apa-apapun.Cuma tambahkan abiliti elektrik aku saja!Kau berdua yang lembab!”Pedas sungguh sindiran Fajar.
     Faruk dan Gomez mendengus.Mereka menghayun pedang mereka ke arah Fajar sambil menghasilkan libasan-libasan yang bercampur.Libasan cahaya dan libasan api.Semuanya bercampur.Libasan-libasan itu menuju ke arah sasaran yang sama.
     Remaja lelaki berusia tujuh belas tahun itu sekadar tersenyum sinis.Dia menepuk sekali kedua-dua tangannya.Sambaran-sambaran elektrik yang keluar dari bulatan elektrik itu kian bertambah.Walaupun Fajar tidak menetapkan sasarannya,sambaran-sambaran itu menyambar ke serata tempat sekaligus mengenai Faruk dan Gomez.
     Faruk dan Gomez meskipun sempat mengelak daripada sambaran-sambaran itu tetapi tipulah sekiranya mereka tidak terkena tempiasnya.Tubuh Faruk dan Gomez sedikit calar terkena tempias sambaran-sambaran itu.
     Pandangan menjadi kabur dengan serangan demi serangan itu.Bendalir-bendalir elektrik muncul di sana sini.Fajar sudah menguasai hampir keseluruhan perlawanan itu sekarang nampaknya walaupun badannya juga sudah sakit-sakit.
     “Sekarang macam mana?Ada seronok?”Perli Fajar sambil ketawa sinis.
     Keadaan sunyi seketika.Asap berkepul-kepul di sana sini.Fajar mengecilkan matanya mencari kelibat Faruk dan Gomez.Pelik!Di mana mereka?Matanya meliar mencari kelibat Faruk dan Gomez.Takut-takut terkena serangan hendap dari mereka.Yalah,orang berketurunan Genolis sememangnya licik.
     “Ini baru permulaan Genolis suntikan!”Kedengaran suara garau Faruk.
     Fajar sedikit tersentak.Dia mendongak memandang ke udara.Faruk dan Gomez tersenyum lebar ke arahnya.

                             *          *          *          *          *
Markas Kenderaan MPD,Dimensi Mena
     Kelihatan beberapa orang pegawai kurang dua puluh orang sedang memeriksa kenderaan antigraviti mereka.Mereka sudah menerima arahan oleh pegawai-pegawai atasan untuk ke tempat misi yang dijalankan oleh Hafiz dan yang lain.Itu sememangnya sudah menjadi tugas mereka sebagai anggota Polis Dimensi.
     Dalam ramai-ramai pegawai itu,Chief Inspektor Mahdi salah seorang daripada mereka.Dia hanya memerhatikan sahaja anak-anak buahnya membuat kerja.Namun itu tidak bermakna dia sekadar goyang kaki.Dia akan memerhatikan kerja-kerja anak buahnya dan membetulkan apa-apa yang patut atau menegur mereka.
     Mereka akan datang dengan tiga buah kenderaan antigraviti.Kenderaan mereka kelihatan seperti sebuah van berwarna putih tetapi agak unik sedikit reka bentuknya.Kali ini mereka tidak menggunakan helikopter kerana kawasan yang mereka akan pergi adalah sebuah hutan.Kawasan itu agak sukar untuk helikopter mendarat.
     Inspektor Rahend mengendalikan salah sebuah kenderaan tersebut.Dia bersama tiga orang pembantunya yang lain sedang memeriksa kenderaan mereka sekiranya terdapat sebarang kerosakan.Nampaknya semuanya dalam keadaan elok dan terperinci.
     “Semuanya dalam keadaan baik,tuan!”Beritahu salah seorang pembantunya.
     “Saya tahu.Terima kasih!”Inspektor Rahend tersenyum.Dia meninggalkan tempat itu dan mendapatkan Chief Inspektor Mahdi yang berada di tempat kenderaan kedua.
     “Kenderaan yang akan saya kendalikan dalam keadaan baik,tuan!”Lapor lelaki itu.
     “Saya juga tuan!”Tiba-tiba Inspektor Ann menyampuk dari tepi.
     “Bagus!Kalau begitu,kita bertolak sekarang.Jangan buang masa!”Chief Inspektor Mahdi memberi arahan.
     “Baik tuan!”Akur Inspektor Ann dan Inspektor Rahend serentak.Mereka terus mendapatkan kenderaan yang akan dikendalikan oleh mereka.
    Chief Inspektor Mahdi juga mendapatkan kenderaan antigraviti yang akan dikendalikannya.Kesemua pegawai Polis Dimensi itu sedang menuju ke arah destinasi mereka,iaitu di hutan tempat dimana Hafiz,Inarah,Fajar,Khazin,Naufal dan Dayana menjalankan misi mereka.
    
                             *          *          *          *          *
     Fajar terpinga-pinga melihat Faruk dan Gomez terapung-apung di udara.Dia agak terperanjat sedikit melihat mereka berdua yang muncul secara tiba-tiba itu.Bagaimanapun,perasaannya itu lenyap begitu sahaja.
     “Kau jangan ingat kami nak beri peluang pada kau!Sekarang kau rasakan ni!”Faruk dan Gomez menepuk tangan masing-masing.Muncul satu bulatan cahaya besar mengelilingi mereka.
     Bulatan elektrik Fajar hilang serta-merta sebaik sahaja bulatan cahaya itu wujud.Fajar bertambah hairan.
     “Bulatan cahaya ini menyerap seluruh bulatan elektrik kau!Sekarang kau termakanlah serangan kau sendiri!”Gomez bersuara disambut dengan tawa Faruk dan juga dirinya.
     Pada masa itu juga,bulatan cahaya itu bertukar menjadi bulatan elektrik yang sama dengan bulatan elektrik yang dihasikan Fajar.Memang sah!Itu memang abilitinya.
     Bulatan elektrik yang sepatutnya berada dalam kawalan Fajar kini bertukar kepada Faruk dan Gomez.Kedua-dua Genolis itu tersenyum gembira manakala Fajar agak terkejut.Dia benar-benar tidak menduga akan peristiwa ini.
     “Mula!!!”Jerit Faruk dan Gomez serentak.
     Sejurus kemudian,keluar sambaran-sambaran elektrik dari bulatan elektrik itu.Sambaran-sambaran itu menuju ke arah Fajar.Fajar bernasib baik kerana dia mempunyai ketangkasan untuk mengelak tetapi tidak semestinya dia dapat mengelak semua sambaran itu.
     “Ah!!!”Jerit Fajar tatkala salah satu sambaran itu mengenai lengan kirinya.
     Fajar spontan memegang lengan kirinya.Darah sudah mengalir keluar walaupun sedikit.Rasa pedih mulai muncul.
     “Seronok kena abiliti sendiri?Kalau seronok kita sambung lagi!!!”Teriak Faruk seperti orang gila.Gembira betul dia melihat Fajar terkial-kial mengelak sambaran-sambaran itu.
     Fajar cuba membalasnya dengan bebola-bebola elektrik becampur dengan libasan elektrik.Ternyata tidak berkesan.Semuanya masih sama.Buat beberapa ketika,Fajar buntu tiada idea.Dia mula menggelabah,tidak tahu apa yang harus dilakukan.
     “Kenapa ni?Takut nak serang balik ke?”Perli Faruk sambil melontarkan tiga bebola elektrik ke arah Fajar.
     Fajar menggagahkan diri mengelak serangan itu dengan melompat.Itu sahaja yang boleh dilakukannya sekarang.Pada masa yang sama,otaknya ligat mencari idea untuk menyerang balas.Geram betul dia kerana asyik dipermain-mainkan oleh dua orang Genolis tidak berhati perut itu.
     Tidak lama selepas itu,Fajar ternampak sebuah batu besar tidak jauh dari tempat dia berada.Tiba-tiba dia mendapat satu rancangan.Rancangan yang dia pasti akan berjaya.Dia yakin dengan rancangan itu mudah untuknya mengalahkan Faruk dan Gomez.
     Tanpa berfikir panjang,Fajar berlari ke arah batu besar itu lalu bersembunyi di belakangnya.Faruk dan Gomez yang melihat ketawa besar melihat tindakan Fajar itu.
     “Apa kau buat tu?Nak main sorok-sorok ke?”Tanya Gomez dengan nada perli.
     “Kau tak payah nak nak menyoroklah!Kami nampak!”Faruk menambah sambil ketawa.
     Fajar yang berada di sebalik batu besar itu tidak menjawab apa-apa.Dia hanya tersenyum penuh tanda-tanya.
     Faruk dan Gomez meneruskan sambaran-sambaran elektrik mereka diselang-selikan dengan libasan-libasan elektrik.Semasa serangan itu berlangsung,Fajar meletakkan kedua-dua tapak tangannya pada batu itu.Bendalir-bendalir elektrik keluar pada tapak tangannya.
     “Sekarang kau berdua rasakan ini pula!”Dia berkata sendirian.
     Beberapa saat selepas itu,batu besar itu pecah dan terbentuk cebisan batu-batu kecil.Batu-batu kecil itu kemudiannya meluncur laju menahan sambaran-sambaran elektrik itu dan sesetengahnya meluncur laju ke arah Faruk dan Gomez yang masih berada di dalam bulatan elektrik itu.
     Faruk dan Gomez yang tergamam dengan situasi itu menjerit kesakitan tatkala batu-batu kecil itu mengenai bulatan elektrik mereka.Bulatan elektrik itu ‘terpecah’ sekaligus memberi efek kepada Faruk dan Gomez yang berada di dalamnya.
     Tidak lama selepas itu,bulatan elektrik itu hilang.Sambaran-sambaran elektrik tadi juga hilang begitu sahaja.Cebisan batu-batu kecil jatuh ke tanah.   
     Buat beberapa ketika,Faruk dan Gomez masih terapung-apung di udara dalam keadaan kaku.Kemudian,badan mereka terkulai layu lalu menjunam jatuh ke bawah.
     Dengan menggunakan telekinesis,Fajar mengawal tubuh Faruk dan Gomez yang terjatuh tadi.Dia mengawal tubuh mereka berdua supaya mereka selamat mendarat ke bawah.Setelah jasad mereka sudah terbaring di atas tanah,Fajar mendekati mereka.
     Kelihatan Faruk dan Gomez pengsan tidak sedarkan diri.Badan mereka penuh dengan calar-balar dan juga baju mereka sedikit koyak di sana sini.Semuanya akibat daripada pertarungan tadi.
     “Kau berdua lupa...”Fajar bersuara sendirian. “...walaupun kau berdua yang kawal abiliti aku,tetapi ia tetap abiliti aku dan aku tahu semuanya tentang abiliti aku berbanding kau berdua.”
     Fajar memandang ke arah langit. “Aku harap semuanya berjalan dengan lancar.”
     Nun tidak jauh dari hutan itu,terdapat beberapa buah kenderaan antigraviti sedang menuju ke arah hutan tersebut.

No comments:

Post a Comment