Saturday, March 26, 2011

BAB 1



Suatu tempat di Dimensi Mena
TERDAPAT sebuah rumah usang di tengah-tengah hutan.Rumah usang itu kecil sahaja dan hanya mempunyai satu  bilik.Pintu utama rumah sudah terkopak.Cermin tingkap kebanyakannya sudah pecah.Warna dindingnya sudah luntur.Kawasan di dalam rumah usang itu pula cuma  ada dua tong kosong dan sekelilingnya kotor dan berhabuk.Di silingnya terdapat beberapa sarang labah-labah yang sudah tentu ‘dibina’ oleh labah-labah sendiri.
     Di dalam biliknya yang cuma sebuah itu,terdapat seorang budak lelaki di dalamnya.Tangan dan kakinya terikat dan mulut ditutup dengan kain.Budak itu kelihatan meronta-ronta untuk melepaskan diri tetapi semua itu sia-sia.
     Di luar rumah,empat orang lelaki baru sahaja masuk ke dalam rumah itu.Dua orang daripada mereka terus masuk ke dalam bilik manakala tiga lagi berada di luar bilik.Dua orang lelaki yang masuk ke dalam bilik tadi melihat wajah budak lelaki yang sedang terikat.Mereka berdua tersenyum.
     “Kasihannya.Lapar,ya?”sindir lelaki yang pertama.
     Disebabkan mulut budak lelaki itu terikat,dia tidak boleh menjawab soalan itu.
     “Ooo...terlupa pula yang kau tak boleh bercakap,”lelaki pertama tadi sengaja menepuk dahinya.
     “Tak apalah.Makanan kau berdua yang kami baru beli tadi,kami tolong makan untuk kau berdua,ya?Kau berduakan anak bangsawan.Mesti makan banyak sampai boleh tahan dua tiga hari,kan?”Sindir lelaki kedua pula.
     Lelaki pertama mencengkam bahu  budak lelaki itu.
     “Kau dengar sini!Selagi bapak kau tak berikan duit 10 juta yang kami minta,jangan haraplah dapat lepas!”Lelaki pertama itu ketawa sambil melepaskan cengkaman itu.
     “Dahlah,jom!Aku lapar ni!”Ajak lelaki kedua.
     Lelaki pertama akur.Mereka berdua keluar dari bilik itu.Di luar bilik,dua orang lagi rakan mereka sedang menikmati makanan.
   “Hei,makanan budak tu kita kongsi!Kasihan,tak boleh cakap!”Lelaki kedua mengejek.
     “Woohh,cantik!”Lelaki ketiga bersorak.
     “Aku pun dah lapar ni!”Lelaki keempat terus menyumbat makanan dalam mulutnya.Mereka berempat berbual sambil ketawa sambil menikmati makanan masing-masing. 
     Sementara itu di dalam bilik,budak lelaki tadi masih meronta-ronta berusaha untuk melepaskan diri tetapi gagal.Dia hampir-hampir menangis.
     Tiba-tiba dia terasa kawasan tempat duduknya gelap disebabkan bayang-bayang seseorang daripada belakang.Budak itu  menoleh.Kelihatan seorang lelaki dan seorang gadis berusia belasan tahun muncul dari jendela bilik yang sudah tiada tingkapnya.
     Kedua-dua remaja itu masuk ke dalam bilik melalui jendela itu.Gadis itu menghampiri budak lelaki itu dan membuka ikatan tangan,kaki dan mulutnya.Budak itu hendak bercakap sesuatu sebaik sahaja ikatan pada mulutnya dibuka namun gadis itu cepat-cepat meletakkan jari telunjuk di mulutnya,menyuruhnya diam.
     Lelaki tadi pula berdiri di sebelah pintu bilik.Apabila dipulas tombolnya,dia mendapati pintu itu terkunci dari luar.Kalau hendak dibuka dari dalam,dia perlu menggunakan kunci yang lain tetapi malangnya dia tiada kunci itu.
     “Inarah,”panggil lelaki itu. “Kuncilah.”
     “Pecahkan!Kan kau boleh buat macam tu,Hafiz!”Cadang Inarah.
     Hafiz mengangkat kening.Dia hampir-hampir terlupakan itu.Hafiz berundur dua tapak ke belakang.Dia membuka langkah...mengumpulkan tenaganya...lalu menendang sekuat hati pada pintu itu...pintu itu serta-merta tumbang ke hadapan apabila selingannya patah.
     Keempat-empat lelaki yang sedang menikmati makanan tadi,terkejut dengan kejadian itu.Mereka ternampak seorang lelaki yang jauh lebih muda daripada mereka sedang memandang tajam ke arah mereka.
     “Hoi,kau siapa?”Teriak lelaki ketiga.
     Hafiz tidak menjawab soalan itu sebaliknya melepaskan satu tumbukan ke perut lelaki ketiga.Lelaki ketiga memegang perutnya sambil menahan sakit.
     Lelaki pertama mengambil sebatang kayu yang terdapat di situ dan menyerang tetapi Hafiz sempat mengelak dengan menundukkan dirinya.Semasa menunduk,dia sempat menyepak kaki lelaki pertama itu sehingga dia jatuh dan secara tidak sengaja tertimpa lelaki kedua.Mereka jatuh tersembam bersama-sama.
     Pada masa yang sama,Inarah baru sahaja hendak menyuruh budak lelaki yang diselamatkannya tadi keluar ikut jendela yang sudah tiada tingkap di dalam bilik.Bagaimanapun,semuanya terlambat apabila lelaki keempat datang menghadang jendela itu.
     “Mana nak lari,hah?”Lelaki keempat sersuara lantang.
     Lantas Inarah melepaskan satu tumbukan ke pipi lelaki itu.Semasa lelaki itu memegang pipi sambil mengaduh kesakitan,Inarah menarik kasar lengan lelaki itu lalu dihumbannya ke timbunan kotak di satu sudut bilik itu.
     “Sekejap lagi polis sampai!Cepat keluar!Tunggu di luar sampai mereka sampai,okey?”Gesa Inarah.
     Budak lelaki itu mengangguk dan terus keluar ikut jendela yang dimasuki Hafiz dan Inarah tadi.Lelaki keempat tadi cuba hendak bangun semula.Inarah mendekatinya lalu meng’karate’ bahunya.Lelaki keempat pengsan.
     Inarah keluar dari bilik.Hafiz masih bergelut dengan ketiga-tiga lelaki.Ketika Hafiz menyerang lelaki pertama,kayu terjatuh dari tangan lelaki itu dan bergolek ke arah Inarah.Tanpa membuang masa,Inarah mengambil kayu tersebut.Dia berlari sambil menghayun kayunya.
     Inarah memukul lelaki kedua dengan kayunya disertai dengan tendangan pada badan lelaki itu.Lelaki kedua terus jatuh.Hafiz pula memegang pergelangan tangan lelaki pertama dan ketiga lalu memusingnya menyebabkan kedua-dua lelaki itu menjerit kesakitan.Dia menambah pula dengan memegang tengkuk mereka lalu berlagakan muka mereka berdua.Lelaki pertama dan ketiga mula berjalan ke sana ke sini akibat pening disebabkan dahi mereka berlaga tadi sebelum mereka rebah.
     “Tak adalah susah sangat nak lawan mereka,”ujar Hafiz sambil mencekak pinggang.
     Inarah mencampakkan semula kayu yang dipegangnya tadi.
     “Ini polis!Sesiapa yang berada di dalam tolong menyerah diri sekarang!”Kedengaran arahan melalui alat pembesar suara walkie-talkie dari luar bangunan.Polis Mena sudah sampai!
     Hafiz dan Inarah berpandangan sesama sendiri.Mereka harus keluar dari situ sebelum Polis Mena nampak mereka!
     Di luar,terdapat lebih kurang sepuluh orang polis menunggu.Setelah tiga kali mereka memberi arahan yang sama tetapi tiada sesiapa yang keluar menyerah,seorang polis yang bertindak sebagai ketua mengarahkan anak-anak buahnya menyerbu masuk ke dalam.Mereka terperanjat!
     Alangkah terperanjatnya mereka apabila melihat tiga orang lelaki terbaring tidak sedarkan diri.Mereka mendapati ada seorang lagi lelaki yang pengsan semasa salah seorang daripada mereka masuk ke dalam bilik bangunan itu.
     “Apa dah jadi?”Soal salah seorang anggota polis yang mengetuai pasukan itu pada dirinya sendiri. “Siapa yang buat sampai begini?”
     “Ada seorang abang dengan kakak tolong saya!”Budak lelaki yang diculik tadi mencelah masuk ke dalam.
     “Abang dan kakak?”
     “Kakak itu yang lepaskan ikatan saya tadi.Abang tu pula berlawan dengan orang-orang jahat ni!Kakak tu pun sama!Mereka hebat!”Budak lelaki itu berteriak kagum. “Eh,mana mereka?Hilang?Tadi,mereka ada...betul!!!”
     Semua anggota polis di situ pula menganggap budak lelaki itu hanya main-main kerana mereka tidak nampak pun bayang ‘abang dan kakak’ yang dimaksudkan budak lelaki itu.
     “Tak apalah.Detektif Lim,bawa budak ni keluar dari hutan ni dan bawa dia balik,”polis yang mengetuai pasukan itu memberi arahan kepada anak buahnya.Kemudian,dia memandang budak lelaki itu. “Kamu boleh balik sekarang.Ayah kamu dah tunggu di balai.”
     Budak lelaki itu hanya mengangguk kecewa kerana tidak dapat menunjukkan ‘abang dan kakak’ yang menyelamatkannya.Dia keluar dari bangunan bersama-sama dengan detektif yang diarahkan ketua pasukan polis tadi.
     Anggota-anggota polis yang lain telah menyedarkan keempat-empat lelaki yang bergelar penculik tadi dengan menghidu minyak angin.Keempat-empat lelaki itu terjaga dan polis-polis itu terus menggari tangan mereka dan dibawa keluar dari bangunan itu.
     Salah seorang pegawai polis mendekati polis yang mengetuai operasi itu. “Tuan nampak macam fikirkan sesuatu.”
     Polis yang mengetuai operasi itu mengiyakan.
     “Kenapa?”
     “Saya pelik,”luah polis itu. “Siapa yang hubungi kita supaya datang ke sini?Dan macam mana dia tahu anak bangsawan tu disembunyikan di sini?”
     “Tak apalah,tuan.Yang penting budak tu selamat.”
     Ketua pasukan polis itu mengangguk.Tiba-tiba dia terfikir.Entah-entah ‘abang dan kakak’ yang dimaksudkan oleh budak lelaki tadi yang menghubunginya?Tetapi kalau betul,di mana mereka?
     Ketua pasukan polis itu menarik nafas,malas lagi hendak berfikir.

                             *          *          *          *          *         
Taman permainan Nurijaya
     Terdapat sebuah pokok besar di satu sudut taman permainan itu.Pada batang pokok itu keluar satu lubang cahaya.Hafiz muncul pada lubang cahaya itu tetapi masih belum melangkah keluar.Dia memerhatikan sekiranya ada sesiapa di kawasan itu.
     “Line clear,”bisiknya sendirian lalu melangkah keluar namun,dia jatuh tersembam ke hadapan akibat kakinya tersepak akar pokok tersebut yang menajalar keluar dari tanah.
     Inarah yang baru sahaja keluar dari lubang cahaya yang sama terpandang Hafiz yang tertiarap di atas tanah.Dahinya berkerut.
     “Buat tabiat ke meniarap atas tanah?”Tanya Inarah hairan.
     “Aku tersepak akar pokoklah!”Jawab Hafiz sambil bangun dan mengibas-ngibas bajunya.
     Inarah ketawa kecil. “Padan muka!Lain kali tengok depan bila...”Inarah tidak sempat menghabiskan ayatnya apabila kaki kanannya tersepak akar pokok yang sama ketika melangkah.Dia jatuh melutut sambil mengaduh kesakitan.
     Hafiz tersengih. “Sekarang siapa yang ‘padan muka’?”sindirnya.
     “Diamlah!”Marah Inarah sambil bangun.Dia memicit-micit lututnya yang sakit buat sementara. “Nampaknya kau dah buat yang terbaik dalam misi sampingan ni,”dia menukar topik.
     “Ya,masuk ni dah lima misi sampingan aku jalankan dan baru satu misi berkaitan Genolis,”ujar Hafiz sambil menaikkan jari-jarinya mengikut angka yang disebut. “Kau beritahu,Genolis akan kerap buat kacau bila Pahlawan Mena muncul.Tapi lepas misi pertama lebih kurang empat minggu lepas selesai,tak ada lagi misi Genolis lain.”
     “Aku cuma teka saja.Kita tak tahu apa rancangan mereka.Mungkin mereka sengaja buat begitu supaya kita leka.Sebab tu aku selalu suruh kau bersiap-sedia bila-bila masa saja.Kita tak tahu mungkin mereka akan buat secara mengejut.”
    
     “Aku bukannya apa.Kalau boleh,aku nak selesaikan semua misi ni secepat mungkin.Lagipun...”Hafiz mengeluarkan batu jed yang terukir gambar pedang dari dalam poket seluarnya. “...aku dah lama tak gunakan Ahwas,pedang aku.Yalah,dalam misi sampingan aku tak boleh gunakannya.”
     “Sebab dalam misi sampingan ia tak melibatkan Genolis.Ia melibatkan penduduk Mena sendiri.Mereka tak ada abiliti.”
     Hafiz mengangguk. “Kau agak bila mereka bertindak lagi?”
     “Aku tak berani nak agak.Dah empat minggu lebih,mungkin dalam masa terdekat,”Inarah mula berjalan meninggalkan tempat itu.
     Hafiz ikut berjalan di sebelahnya. “Kau tak takut?”Sengaja Hafiz menduga rakannya itu sambil tersengih.
     “Takut apa?Aku dah lama jalankan misi ni berbanding kau,tahu!”
     “Kau juga pernah cakap,sejak aku muncul masa dalam misi hari tu,itu misi yang paling berat kau hadapi walaupun kita cuma selesaikan dalam masa dua hari saja.”
     “Memanglah.Tapi tak semestinya aku takut!”
     Hafiz tidak berkata apa-apa.Dia terus berjalan memandang ke hadapan dan berdiam diri buat seketika.Kemudian,dia bersuara;
     “Aku dah tak sanggup sembunyikan hal ni daripada mak aku...”
     “Hah?”Inarah tersentak.
     “Walaupun mak aku masih tak syak apa-apa,tapi aku rasa macam aku dah tipu dia.Aku bernasib baik sebab ayah aku tahu tentang perkara ni,”Hafiz memandang Inarah. “Aku pernah janji dengan mak aku,kalau ada apa-apa rahsia,aku akan beritahu dia.”
     Inarah merenung Hafiz.
     “Kau rasa aku tipu dia ke?”
     Inarah menghela nafas. “Kau ingat kau seorang.Aku pun sama.Itupun kau masih bernasib baik sebab ayah kau tahu.Aku?Tak sesiapapun tahu selain Azman,kawan baik kau dan kau sendiri.”
     Hafiz diam.
     “Lagipun,kalau mereka tahu,mereka tentu risaukan tentang kita.Kau bayangkan,bila mereka risau,kita akan rasa serba-salah sebab kita menyebabkan mereka risau.Aku tak sanggup tengok ibu bapa aku risaukan aku.Kau bernasib baik sebab ayah kau sporting.”
     Diam lagi.
     “Kau juga pernah cakap ini tanggungjawab kau.Kau akan memakan kata kau sendiri kalau kau fikir macam tu,”Inarah mengingatkan. “Apa sekalipun,kita kenalah sentiasa berdoa supaya kita dilindungi-Nya.”
     Mereka sudah keluar dari kawasan taman.Terdapat sebuah motosikal berwarna putih kelabu diparkir di situ.Inarah mendekati motosikal itu sambil mengeluarkan kunci motosikal dari dalam poket seluarnya.Dia naik ke atas motosikal itu dan menghidupkan enjin.
     “Kau tak perlu risau,”Inarah menyambung topik perbualannya tadi. “Mungkin satu hari nanti mak kau akan tahu juga,cuma biarlah dia tahu sendiri.”
     “Kau rasa betul ke apa yang aku buat?”
     “Aku tak berani nak bagi pendapat.Tapi bila kau nak buat sesuatu keputusan,fikirlah masak-masak.Ini bukan untuk kebaikan kau saja,untuk kebaikan keluarga kau juga,”nasihat gadis itu. “Genolis mungkin akan muncul dalam waktu terdekat ni.Bersiap-sedia,okey?”
     Hafiz mengangguk.
     Inarah memakai helmetnya. “Aku balik dulu.Jumpa di sekolah esok,”kata Inarah sebelum menunggang motosikalnya.
     Mata Hafiz mengekori motosikal Inarah sehingga motosikal itu hilang dari pandangan.

                             *          *          *          *          *
Negara Ghanum,Dimensi Mena
     Musyary sekarang berada di atas bangunan sederhana tinggi sambil memerhatikan pemandangan di bawahnya.Kenderaan yang menggunakan tenaga elektrik seratus peratus dan juga bersifat antigraviti meluncur ke kiri dan ke kanan di hadapannya.Malah ada juga kenderaan berbentuk seperti sebuah pesawat tetapi kecil saiznya sedang berterbang di udara.Bangunan-bangunan pencakar langit banyak dibina.Namun,pokok-pokok dan tanaman hiasan tetap ditanam di sepanjang jalan mengindahkan lagi suasana di situ walaupun kawasan itu pesat membangun.
     Musyary tersenyum sendirian.Jauh di sudut hati,dia sungguh kagum dengan senario di hadapannya.
     Dalam keasyikan itu,Musyary sedar ada seseorang baru muncul belakangnya walaupun dia tidak menoleh.Dia adalah Hanz.Kemudian,muncul dua orang lagi lelaki bersamanya.
     “Kau nampak kagum,Mus,”ujar Hanz.
     Musyary ketawa kecil. “Hebat!Di alam Genofra pun tak sehebat ini teknologinya.Patutlah keturunan-keturunan kita teringin sangat pada Dimensi Mena!Termasuk abang aku!”
     “Aku harap kau tak kecewakan kami bila kau kata nak ajak kami dalam rancangan kau,”salah seorang antara dua lelaki yang berada di sebelah Hanz menyampuk.
     “Kau betul,”sokong lelaki seorang lagi.
    “Gomez,Faruk...jangan risau.Aku tahu apa yang aku buat.”
     “Kau nak buat apa?”Tanya Faruk.
     “Aku akan panggil seseorang yang pernah terlibat dengan abang aku dulu...seorang penduduk Mena yang pernah menjadi tali barut abang aku...”Musyary tersenyum jahat. “...dia tinggal di negara ni.Bukannya susah nak cari dia!”
     Hanz,Gomez dan Faruk ikut tersenyum jahat.
     Musyary yang tadi kagum dengan senario di hadapannya,kini memandangnya dengan pandangan yang penuh dendam kesumat.

                             *          *          *          *          *
Negara Luvia,Dimensi Mena
     Taman Perumahan Jinji adalah tempat di mana rumah Khazin berada.Rumah Khazin terletak di lorong yang kesepuluh daripada dua puluh lorong di dalam taman perumahan tersebut.Satu lorong cuma terdapat lima belas buah rumah sahaja.
     Di dalam rumah,Khazin sedang baring di atas sofa.Bosan.Itulah yang dia rasakan.Sejak abangnya sudah berpindah dan bekerja di negara lain lebih tiga tahun dahulu,dia berasa sunyi.Maklumlah,dia cuma ada dua adik beradik.Abangnya ada juga menghubunginya sekali setiap minggu.
     “Khazin,”Khazin terdengar suara ibunya,Puan Hani memanggil. “Naufal datang.Dia ada di luar,”beritahunya.
     Mendengar akan hal itu,terus Khazin bangun dan menuju ke halaman rumah.Sememangnya dia menantikan kedatangan sepupunya itu.Dia terasa bosan apabila berada di rumah sahaja.
     “Ada apa?”Tanya Khazin setelah berada di luar rumah.
     “Saja datang,”jawab Naufal terus masuk ke dalam tanpa dijemput.Dia sudah biasa dengan rumah sepupunya itu. “Aku dengar abang kau hubungi kau semalam.Dia okey?”
     “Biasa saja,”balas Khazin lalu duduk di atas sofa.Naufal duduk di sebelahnya. “Syukur jugalah bila dia beritahu badannya dah tak sakit.Risau juga aku.”
     “Ia terjadi hujung tahun lepas,kan?Bulan November?”
     Khazin angguk. “Waktu itu,masa dia hubungi kami dan beritahu dia nak pergi kursus askar,ingatkan bolehlah tahan lasak.Rupa-rupanya kantoi.Aku ingat lagi,lepas sebulan,awal bulan Disember dia habis kursus,aku tengok tenaganya macam dah zero,lemah sangat!Terkejut juga aku tengok dia masa dia hubungi kami lepas habis kursus tu.”
     “Dia hubungi kau dengan komputer plasma kau?”
     “Yalah,dengan apa lagi,”kata Khazin. “Mulanya ingat biasa saja.Tapi setiap minggu dia hubungi kami,aku tengok dia macam lemah sangat.Dia asyik beritahu badannya sakit-sakit.Mukannya pun naik merah.Dia kata jangan risau sebab kesakitan tu akan reda.”
     “Jadi,semalam masa dia hubungi kau,dia dah okey?”
     “Alhamdulillah,dia dah beransur sembuh.Itupun ambil masa sebulan lepas dia habis kursus,sekarang ni dah hujung bulan Februari.Maknanya,dah hampir dua bulan.Aku pelik,latihan apa dia buat masa kursus sampai lemah macam tu sekali?”
     “Alah,askar...biasalah!Latihannya memanglah lasak.Siapa yang tak tahan memang jadi macam tu!”
     “Masalahnya abang tu jenis tahan lasak sejak dari sekolah rendah.Dia masuk pertandingan tempur sampai sekolah menengah.”
     Naufal merenung Khazin. “Lain tempat,lain cara.Mungkin dia tak tahan dengan suasana di sana.Siapa tahu?Apa yang penting sekarang,abang kau dah makin pulih.”
     Khazin mencebik.Dia bangun dari sofa dan mengambil komputer plasma yang panjangnya 20 cm dan berlebar 15 cm dari atas almari.Kemudian,dia kembali duduk di atas sofa.
     “Kenapa?”Tanya Naufal.
     “Aku nak tunjukkan kau sesuatu,”Khazin menghidupkan komputer plasmanya dengan menekan satu butang leper di bahagian belakang komputer.Komputer dihidupkan. “Aku ada simpan lagi gambar masa abang aku sakit.Dia yang hantar pada aku.Aku sengaja tak nak tunjukkan pada kau dulu sebab ingatkan kau percaya.Nah,sekarang tengok!”
     Khazin mengangkat jari telunjuknya dan klik pada satu file yang tertulis ‘ABANG’ di skrin.Keluar banyak gambar setelah meng’klik’ pada file itu tetapi ada satu gambar yang menarik perhatian Khazin.Dia mempebesar saiz gambar itu.
     “Kau tengok,”suruh Khazin.
     Mata Naufal membulat melihat gambar tersebut.Gambar seorang manusia yang sedang berdiri tegak.Keadaan manusia itu mengejutkan Naufal.Muka,tangan dan kaki merah ditambah lagi dengan bintik-bintik merah.Walaupunpun bintik-bintik merah tidak teruk di bahagian muka,namun wajahnya yang kemerahan itu membuatkan wajah Naufal tidak berapa cam manusia tersebut ialah abang Khazin.
     “Muka abang kau...lain...”
     “Aku tahu.Masa dia hantar gambar ni,aku,mak dan ayah aku langsung tak percaya ini abang aku,”akur Khazin. “Selain yang ni,dia selalu mengaduh sakit-sakit badan,”Khazin meng‘klik’ butang keluar di bahagian tepi skrin itu dengan jari telunjuknya.
     Naufal menghela nafas. “Kalau kau rasa sangsi,kenapa kau tak beritahu dia yang kau tak percaya ini gara-gara latihan askar tu?”Naufal menyoal.
     “Ada,tapi dia tetap beritahu yang semua ni kesan daripada latihan tu...aku langsung tak percaya.Dia macam sembunyikan sesuatu.”
     “Mak Ngah dan Pak Ngah macam mana?”Tanya Naufal merujuk kepada ibu saudara dan bapa saudaranya,iaitu ibu bapa Khazin.
     “Mereka tak kisah apapun,yang penting abang aku dah semakin sembuh,”jawabnya sambil menyandarkan tubuhnya di atas sofa.
     “Tak kisahlah.Janji dia dah okey,”ujar Naufal. “Oh ya,dah tiga tahun abang kau bekerja dekat negara luar!Bila dia nak balik?”
     “Dia tak beritahu apa-apa lagi,”jawab Khazin. “Aku nak sangat jumpa dia,Naufal.”
     Naufal tidak berkata apa-apa.Dia faham perasaan sepupunya itu.

                             *          *          *          *          *
Negara Ghanum,Dimensi Mena
     Dayana menunggang motosikal antigraviti milik bapanya untuk pergi ke sebuah kedai membeli barang.Jalan raya tidak terlalu sibuk waktu itu menyenangkan Dayana.
     Dayana membelok motosikal antigraviti ke sebatang jalan yang dinamakan Jalan E-Kedai.Jalan itu dipanggil begitu kerana bangunan di kiri dan kanan jalan itu semuanya kedai-kedai menjual barang,tidak kiralah barang-barang apa sekalipun.
     Gadis berusia 15 tahun itu menghentikan motosikalnya di hadapan sebuah kedai kain.Kemudian,dia masuk ke dalam kedai tersebut dan berjumpa dengan salah seorang pekerja di sana.
     “Kak,kain yang saya tempah dah sampai?”Soalnya.
     “Oh,kamu Dayana!Ada,ada...ikut kakak,”ajak pekerja wanita itu.
     Mereka berdua berjalan menuju ke tingkat dua kedai tersebut dengan menaiki eskalator.Terdapat banyak gulungan-gulungan kain beraneka warna dan corak cukup menarik perhatian Dayana sehingga tidak sedar dia sudah sampai di tempat yang ditujunya.Setelah pekerja wanita itu menegur,barulah dia sedar.
     “Ini kainnya,”beritahu pekerja wanita itu sambil menunjukkan segulung kain berwarna ungu dan bercorak bunga-bunga kecil di bahagian tepi kain kepada Dayana.
     “Wow,cantik!”Puji Dayana.
     Pekerja wanita itu tersenyum. “Boleh akak tahu mak kamu nak buat apa dengan segulung kain ni?”
     Dayana ketawa kecil. “Keluarga saya...bulan depan ada majlis keluarga.Jadi,semua mak saudara saya dan mak saya bercadang,anak-anak perempuan remaja semuanya kena pakai sedondon.Tak tahulah kenapa.Nasib baik sepupu perempuan yang lebih kurang sebaya saya tak ramai.Kalau tak,jenuh nak menjahit.”
     Pekerja wanita itu juga ketawa kecil. “Tak apalah.Akak nak ke bawah sekejap,terlupa nak ambil mesin resit.Tunggu sekejap,ya?”
     Dayana mengangguk sambil matanya mengekori pemergian pekerja wanita itu.Pada masa itu juga,dia terasa ada seseorang memanggilnya.Dia menoleh, “Abang Khalil!”Panggilnya.
     Khalil tersenyum ke arah gadis itu. “Banyak kain kau beli.”
     “Kain dah tempah.Eh,abang tak kerja hari ni?”
     “Hari ni abang kerja pagi saja.Sejak kebelakangan badan abang letih sangat.”
     Dahi Dayana berkerut. “Aik,hari tu abang beritahu yang abang dan semakin sembuh?”Tanyanya.
     “Memanglah.Sebelum nak sembuh,mungkin ini efeknya.Insya Allah,lama-lama okeylah.”
     “Itulah...keluarga macam mana?Mereka dah tahu abang dah semakin sembuh?”
     “Hmm...baru semalam abang hubungi mereka.Mereka dah tahu.”
     “Abang tak pernah terfikir nak balik ke?Dah tiga tahun abang kerja dekat sini tapi tak pernah balik rumah.”
     Khalil mengeluh. “Entahlah.Abang memang rancang nak balik lepas habis kursus askar.Tapi,tak sangka pula abang sakit lepas habis kursus tu.Nak balik...abang tak sampai hati mereka tengok keadaan abang macam ni.Jadi,abang ingat nak tunggu abang sembuh sepenuhnya dulu.”
     Dayana merenung Khalil dengan simpati.Dia sudah maklum bahawa Khalil sudah berhijrah ke Negara Ghanum selama tiga tahun dan tidak pernah lagi pulang ke rumah.Walaupun dia tidak mengenali keluarga Khalil,dia pasti keluarga pemuda berusia awal 20-an itu pasti merinduinya seperti Khalil merindui mereka.
     “Abang pergi dulu,Yana.Itu,perkerja tadi dah datang,”beritahu Khalil apabila terpandang pekerja wanita yang melayan Dayana tadi sudah datang.
     Setelah meminta izin untuk pergi,Khalil beredar dari situ meninggalkan Dayana.Dayana terus memandangnya sehingga pemuda itu hilang dari pandangan.

No comments:

Post a Comment