Friday, March 25, 2011

BAB 8


KRIINNGG!!!Loceng rehat berbunyi menandakan waktu rehat untuk pelajar tingkatan empat dan lima sudah bermula.Sesetengah pelajar turun ke kantin untuk berehat,ada setengah ke perpustakaan dan ada sesetengahnya duduk di dalam kelas sahaja.
   Hafiz yang duduk di tepi tingkap yang menghadap padang sekolah memandang ke luar tingkap.
   “Hoi,tak nak turun ke?”tegur Muqri.
   “Malaslah.Ah,kau keluar nanti,kau jumpa dengan Azman,Firas dengan Syahid,beritahu mereka aku duduk dekat kelas.Tak payah tunggu aku,”suruh Hafiz.
   “Okey!”Muqri akur dan beredar dari situ.
   Sementara itu di dalam kelas Tingkatan 4 Delima,Inarah sedang menulis sesuatu di dalam buku.
   “Sibuk?”Tanya Farahin.
   Inarah mengangguk. “Aku nak periksa laporan pengawas ni.Kau bukannya tak tahu,jadi setiausaha macam inilah.”
   Farahin hanya mengangguk.Dia memang sudah maklum Inarah dilantik sebagai setiausaha pengawas untuk sesi pagi.
   “Habis,kau tak turun?Setahu aku kau tak bertugas sekarang,kan?”
   “Tak.Kau pergilah.Aku nak duduk sini saja.”
   “Okey,”kata Farahin sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.Dia beredar dari situ dan tidak sedar Inarah merenyukkan kertas yang ditulisnya lalu dibuang ke dalam tong sampah.
   Apabila Farahin tiba di luar kelas,dia ternampak Azman,Firas dan Syahid sedang menuruni tangga blok.Farahin mendapatkan mereka.
   “Eh,mana Hafiz?”Soalnya.
   “Tadi Muqri beritahu Hafiz tak nak turun.Kami tak kisah sebab kami nak pergi library,”balas Syahid.
   “Ooo...tak apalah.Aku nak turun ke kantin ni.Aku pergi dulu.”
   “Ha’ah,yalah,”kata Firas pula.Ketiga-tiga lelaki itu memandang Farahin menuruni tangga blok dan hilang dari pandangan mereka.
   Kaki ketiga-tiga lelaki itu terus melangkah menuruni tangga blok.Baru sahaja beberapa langkah,Azman menepuk dahi tiba-tiba.
   “Apahal?”Tanya Syahid.
   “Aku tertinggal kad library.Kau berdua pergi dululah.”
   Syahid dan Firas bersetuju.Mereka terus berjalan menuju ke perpustakaan manakalan Azman naik ke atas kembali untuk mengambil kad perpustakaan yang tidak sengaja ditinggalkannya.
   Apabila dia tiba di tingkat di mana kelasnya berada,dia terkejut apabila mendapati Hafiz sedang berjumpa dengan Inarah.Mereka berdua beredar dari situ.Timbul perasaan aneh dalam dirinya.Sejak bila pula mereka rapat ni?Hati kecilnya berbisik sendirian.
   Setelah agak jauh Hafiz dan Inarah beredar dari situ,Azman terus melupakan hasratnya untuk mengambil kad perpustakaannya lalu membuat keputusan untuk mengekori kedua-dua pelajar tersebut.
   Hafiz dan Inarah sedang duduk di sebuah pondok bersebelahan dengan Taman Sains kedua di sekolah tersebut dan berdekatan dengan pejabat sekolah.Azman bersembunyi di sebalik dinding pondok.Terdapat pelajar-pelajar lain yang lalu-lalang bersebelahan dengan pondok tersebut hairan melihat tingkahlaku Azman tetapi tidak mereka ambil peduli.
   “Kau setuju dengan cadangan aku pagi tadi?”Azman terdengar suara Inarah bertanya kepada Hafiz.
   “Aku sendiri tak tahu.Aku terfikir nak tarik diri.Kejadian semalam tu buat aku rasa gerun.”
   “Kau jangan macam tu.Kau kena terima yang kau tu orang terpilih.Tugas kau adalah menyelesaikan kekacauan yang berlaku di Dimensi Mena. Penduduk di sana tak ada abiliti macam kita kecuali pihak musuh.”
   “Woa,sekejap!Kenapa pula pihak musuh saja yang ada kuasa?Mereka pun penduduk Dimensi Mena juga,”kata Hafiz.
   “Siapa kata?”
   Hafiz mengangkat kening. “Eh,tak betulkah?Fajar tu...”
   “Aku yakin Fajar dah dipergunakan,”Inarah mencelah. “Pihak musuh bukan berasal dari Mena.Mereka berasal dari satu alam yang bersempadan dengan Mena.Alam itu dinamakan Genofra.Genofra adalah tempat tinggal pihak musuh dan kesemua mereka mempunyai abiliti luar biasa sejak azali lagi.Manusia yang ada abiliti tu dipanggil Genolis.Nama itu diberi berdasarkan nama saintis itu sendiri,Ahmadi Genolis Syah.”
   “Semua?Kalau macam tu,macam mana boleh jadi jahat pula?”
   “Cik Yusra pernah ceritakan pada aku.Lebih kurang lima puluh tahun dahulu di Genofra,seorang saintis berazam ingin menjadikan seorang manusia yang mempunyai kuasa yang tiada pada manusia normal dan dia namakan Genolis.Tujuannya untuk melahirkan manusia Genolis pada masa akan datang.Jadi,dia telah mencipta satu gen yang membolehkan dia mencipta manusia Genolis.Apabila gen itu siap,dia telah memasukkan gen itu ke dalam DNA subjek.Subjek itu membenarkannya secara sukarela dan saintis tu tak sedar yang subjek tu ada agenda tersendiri,”Inarah memberhentikan seketika ceritanya.
   “Apa jadi lepas tu?”Tanya Hafiz.
    Inarah menghela nafas. “Lepas saja gen itu dimasukkan,subjek itu berjaya menunjukkan yang gen itu mampu menghasilkan manusia Genolis.Malangnya,subjek telah mengkhianati saintis itu lalu membunuhnya.Sejak saintis itu mati,keadaan menjadi huru hara.Subjek telah mengambil kertas kajian tentang gen itu dan menghasilkan gen itu sendiri.Akibatnya,ramai manusia di situ terpengaruh dan fikiran mereka terus dikawal oleh subjek itu.Manusia Genolis menindas manusia normal yang tidak mahu terima gen itu.”
   “Aku nak tanya,bagaimana saintis tu hasilkan gen tu?Boleh dibuat ikut kaedah saintifik ke?”
   “Wallahualam,kami sendiri tak tahu.Tapi,kita kena ingat,walaupun saintis tu dah berjaya cipta gen itu,kita kena sedar semua itu datangnya dari Allah.Gen itu berjaya dicipta kerana izin Allah.”
   Hafiz mengangguk.“Sebelum mereka terima gen tu,mereka tak terfikirkah yang  mereka akan dikawal?”
   “Lumrah manusia.Dengar saja benda luar biasa,terus saja terima tanpa menyiasatnya terlebih dulu.Apapun,kebanyakan saja...bukan semua,”Inarah tersenyum. “Keadaan jadi huru-hara bila manusia Genolis mula mengganas menghapuskan manusia normal.Akibatnya manusia normal terus pupus dan tinggal manusia Genolis saja.Mereka hidup seperti biasa dari generasi ke generasi tetapi telah merancang sesuatu untuk manusia Genolis pada masa akan datang.”
   “Apa dia?”
   “Memerintah Dimensi Mena,”balas Inarah. “Mena merupakan satu dunia yang maju teknologinya berbanding Genofra dan Bumi.Kalau mereka dapat memerintah Mena,mereka boleh menggunakan teknologi itu untuk memerintah Mena.”
   “Tapi,kenapa baru sekarang mereka menyerang Mena?”
   “Mereka ambil masa bertahun-tahun merancang strategi dan strategi itu diturunkan kepada satu generasi ke satu generasi sampailah generasi mereka sekarang.Yalah,perancangan nak memerintah dunia bukannya senang.Apabila strategi dah siap,mereka mulakan agenda mereka.Apabila agenda mereka dah bermula,dari situlah aku telah menjadi orang terpilih dan sebelum ini aku dah jalankan tiga misi.Maknanya dah tiga kali mereka buat kacau.”
   “Habis tu,kenapa manusia dari bumi pula yang terpilih?Sepatutnya ini hal penduduk Mena saja.”
   “Hafiz,kita hanya membantu.Kita dipilih supaya Genolis tak dapat kesan kita.Kalau orang Mena terpilih,maknanya Genolis senang dapat tahu sebab kesemua maklumat Mena dah ada di tangan mereka.Apapun,semua tu sia-sia.”
   “Kenapa?”
   “Memang pada mulanya mereka tak tahu tentang manusia terpilih dari bumi,tapi semuanya terbongkar apabila salah seorang penduduk Mena telah sampai ke bumi dan berjumpa dengan manusia di bumi.Semua itu berlaku tahun lepas.Kau tahu siapa penduduk Mena dan dengan siapa penduduk Mena tu berjumpa?”
   Hafiz menggeleng.
   “Penduduk Mena itu ialah...Cik Yusra,penasihat kita dan orang bumi yang dia berjumpa ialah aku...”beritahu Inarah sambil menundukkan muka.
   “Masa itu baru seminggu aku menjadi manusia terpilih.Cik Yusra datang ke bumi berjumpa aku sebab dia hendak merawat aku.Kecederaan aku agak teruk masa aku jalankan misi pertama aku,”Inarah memegang kepalanya.Air matanya mula bergenang.
    “Sebenarnya Cik Yusra dah beritahu yang dia nak rawat aku di ruang putih,jalan sempadan sebelum masuk ke Dimensi Mena tapi aku degil.Aku beritahunya yang aku betul-betul tak ada tenaga dan hendak baring di rumah.Dia ikut saja lalu menyamar sebagai doktor di rumah aku dan merawat aku.Kami tak sedar masa tu Genofra dah lama perhatikan tindak-tanduk Cik Yusra disebabkan Cik Yusra orang Mena.Kami sedar masa salah seorang konco Genolis beria-ia nak bunuh aku keesokkan hari dan beritahu kesemuanya.”
   Inarah mengesat air matanya daripada mengalir keluar. Hafiz hanya diam  melainkan memandang sahaja wajah sedih Inarah itu.
   “Kau faham,kan?Sekarang Genolis dah tahu tentang kita berdua.Tentang Fajar,aku yakin dia dah dipergunakan.Dari dulu lagi  dah ada penduduk Mena dipergunakan untuk cita-cita Genolis. Penduduk Mena yang dipergunakan akan disuntik gen itu dan ada kuasa macam mereka.”
   “Boleh aku tahu,Cik Yusra dan Pak Cik Widad siapa sebenarnya?Dan tentang senjata kita ni...takkan ia muncul begitu saja,”kata Hafiz sambil menunjukkan batu jednya.
   “Cik Yusra dan Pak Cik Widad adalah penduduk Mena cuma mereka istimewa sikit...”Inarah mengangkat mukanya. “...mereka berdua tu sepupu dari keturunan saintis yang mencipta gen itu.Senjata kita ni sebenarnya dicipta oleh Tuan Widad masa dia muda.”
   “Eh,kejap!Saintis itukan berasal dari Genofra?Dan...senjata ni Pak Cik Widad yang cipta?”
   Inarah ketawa kecil. “Lupa aku nak beritahu.Saintis itu juga masukkan gen Genolis pada badannya setelah gen itu disiapkan.Dia mati meninggalkan isterinya.Isterinya dan keluarganya yang lain sempat berpindah ke Mena sebelum kekecohan Genolis bermula ke Genofra.Mereka menggunakan ruang putih untuk ke Mena.Masa itu kekuatan Genolis masih terbatas dan mereka tak dapat kesan isteri dan keluarga saintis itu.Mereka hidup seperti biasa di Mena dan merahsiakan identiti mereka.Secara automatiknya mereka menjadi penduduk Mena.Apapun,sedikit darah Genofra mengalir dalam badan mereka jadi,mereka ada mewarisi sedikit gen Genolis.Mereka juga ada abiliti Genolis cuma tidak berapa ketara.Tentang Tuan Widad,dia mencipta keychain dan batu jed itu dari batu marmar yang ada di Dimensi Mena.Dia masukkan tindak balas memori pada kedua-kedua senjata ni dengan menggunakan abilitinya.”
   “Jadi,pemilihan kita berdua berdasarkan pemikiran Tuan Widad. Contohnya kalau Tuan Widad mahukan seorang yang tabah.Jadi,keychain dan batu jed itu akan bertindak balas berdasarkan pemikiran Tuan Widad.Itu contoh saja. Pemikiran Tuan Widad yang sebenarnya aku pun tak tahu.”
   “Ooo...pasal siapa Cik Yusra dan Pak Cik Widad,mereka tu sepupu dan dari keturunan saintis yang ada gen Genolis.Patutlah ada cahaya jingga di depannya masa dia lindungi aku semalam.Maknanya,mereka berdua saja manusia Genolis yang baik?”
   Inarah mengangguk.
   Hafiz merenung Inarah. “Kau kata tadi sebelum ni kau baru jalankan tiga misi dan ia berlaku tahun lepas,kan?”
   “Ya,misi tu tak seberat macam misi yang ada sekarang walaupun aku selesaikannya dalam beberapa hari.Semua Genolis yang terlibat aku dah berjaya serahkan mereka kepada Polis Dimensi.Entahlah,mungkin mereka dah tahu kemunculan kau,mereka dah makin mengganas.
   “Apa kena mengena dengan aku?”
   Giliran Inarah merenung Hafiz. “Aku tak beritahu kau semuanya lagi,Hafiz.Sebenarnya,kau bukan setakat manusia terpilih macam aku.Senjata yang kau ada sekarang adalah buktinya,”ujar Inarah menghela nafas. “Kau sebenarnya...”
   “Hoi,kau buat apa ni?”Kedengaran seseorang menjerit di sebalik pondok tersebut menyebabkan kata-kata Inarah terhenti.Inarah dan Hafiz menoleh ke arah jeritan tersebut.
   “Ssshhh...bisinglah kau ni!”Suara lain pula yang muncul dengan nada perlahan tetapi Hafiz dan Inarah masih mendengarnya.Mereka berdua berjalan mendekati suara tersebut.
   “Aku nak bagi balik kalkulator yang aku pinjam tadi,”seorang pelajar lelaki agak gempal badannya memberi kalkulator kepada seorang pelajar lelaki bertubuh kurus.Waktu itu tanpa disedarinya,Hafiz dan Inarah sudah berada di belakangnya.
   “Azman!”Teriak Hafiz.Pelajar lelaki bertubuh kurus itu menoleh.
   “Aku pergi dulu,”pelajar lelaki bertubuh gempal beredar dari situ.
   Azman memandang Hafiz dan Inarah sambil tersengih.
   “Apa sengih-sengih?Kau buat apa kat sini?Kau mengendap kami,ya?”Tanya Hafiz,geram.
   “Err...taklah.Sebenarnya aku...”
   “Cakap betul-betul!”Hafiz menarik kolar baju Azman.
   “Ya...ya...ya...aku mengendap kau berdua!”Azman menggelabah.
   Hafiz melepaskan kolar baju Azman.
   “Aku pelik.Setahu aku kau berdua tak berapa baik.Sebab tu aku pelik bila nampak kau jalan berdua.Jadi,aku agak mesti ada sebab lain dan aku nak tahu sebabnya.Sebab itu aku ikut kau berdua.Tapi...”
   Hafiz dan Inarah merenung Azman.
   “Apa yang dengar tadi memang pelik.Apa semua tu?”Pertanyaan Azman membuatkan Hafiz dan Inarah tergamam.
   “Kau dah dengar semuanya?”Inarah yang tadi diam bersuara.
   Azman mengangguk.
   Inarah dan Hafiz berpandangan. Mereka kelihatan serba salah.
   “Kau berdua nampak macam rahsiakan sesuatu.Beritahulah aku apa dia,”Azman mendesak.
   “Hafiz,”Inarah memandang Hafiz. “Azman baik dengan kau.Tak salah kau ceritakan pada dia.”
   Hafiz pula memandang Inarah. “Kau pasti?”
   Inarah mengangguk. “Kau sajalah beritahu dia siapa kita sebenarnya.Aku akan sambung mana yang perlu nanti.”
   Azman memandang Hafiz dan Inarah dengan hairan.
   “Baiklah,Azman.Aku akan cerita tapi kau jangan beritahu sesiapa termasuk Firas dan Syahid,”suruh Hafiz.
   Azman mengangguk.
    *         *          *          *          *         
Bilik kurungan bawah tanah
     Jabran menarik kasar tangan Fajar masuk ke dalam sebuah bilik kurungan.Bilik kurungan itu hanya diterangi dua cahaya obor.Fajar kemudiannya jatuh tersungkur ke depan akibat ditolak Jabran.
   “Kau nak tengok mak kau menderita ke?”Tanya Jabran dengan nada suara yang tinggi dan marah.
   Fajar mengangkat muka.Di hadapannya sekarang adalah sebuah sangkar kurungan.Terdapat seorang wanita berusia awal 40-an di dalamnya.Mata wanita itu terpejam rapat.Wajahnya lesu.
   “Mak...”bisik Fajar.
   “Aku cuma suruh kau bunuh budak lelaki tu!Itupun susah ke?Kau tahukan apa akibatnya kalau kau gagal!”Jabran menghalakan jari telunjuknya pada satu butang merah yang diletakkan pada sangkar kurungan besi itu.
   “Tak!Jangan!Tolonglah jangan!”Fajar merayu.
   “Kau bukan saja gagal hapuskan dia,kau juga dah membongkar tentang rancangan kita.Sekarang ni mereka dah tahu ada dalang di sebalik serangan tu!Dan dalang itu ialah kita!Kau memang tak guna!”Marah Jabran lagi.
Fajar mengetap gigi. “Kenapa kau nak sangat bunuh Hafiz?Dia tak bersalah.Lagipun,kenapa kau beria-ia sangat nak bunuh Hafiz dan bukannya Inarah?Kau juga cakap Inarah dah meyebabkan kawan-kawan kau ditangkap  pihak polis Mena dulu?”
   “Huh,budak perempuan tu aku fikirkannya nanti!Memang betul dia berjaya tewaskan kawan-kawan Genolis aku,tapi aku kena selesaikan budak lelaki tu dulu!Kau tahu kenapa?”
   Fajar menggeleng.
   “Budak tu bukannya setakat manusia terpilih.Dia lebih daripada itu,”Jabran tersenyum lebar.
   “Apa maksud kau?”
   “Ahmad Hafiz Johari adalah pahlawan Mena yang ditunggu Genolis selama ni,”satu suara muncul dan ia milik Naimi.
   Mata Fajar terbeliak. “Apa?”
   “Betul tu,”Jabran menyambung. “Tugas pahlawan Mena adalah menewaskan seluruh keturunan Genolis.Sebab tu rancangan aku sekarang lebih berat berbanding kawan-kawan aku dulu.Aku nak tengok kelebihan budak tu.”        
    “Mana kau tahu?”Tanya Fajar.
   “Heh,Widad tak guna tu dah cipta batu jed yang senjatanya ialah pedang antik zaman kuno Mena.Pedang itu diperbuat daripada titanium dan dia memasukkan tindak balas memori menggunakan abilitinya.Tindak balas itu mengatakan,pemilik pedang adalah pahlawan Mena yang akan menyelamatkan Mena dari Genolis,dan pedang itu adalah milik budak benama Hafiz!”Jabran ketawa. “Budak perempuan bernama Inarah itupun sama!Dia bertindak sebagai penolong dan juga penasihat pahlawan tu selain Yusra dan Widad!Dia pun patut dibunuh!”
   Fajar memandang Jabran dengan perasaan marah dan jijik.Namun,apabila dia terpandang wanita yang dipanggilnya emak terbaring lemah di dalam sangkar besi,wajahnya kembali muram.
   “Sebab tu kau kena cepat-cepat hapuskan mereka  sementara kami merancang nak serang Kota Batu Karang.Pastikan dia mati sebelum serangan tu!Kalau tak...”Jari telunjuk Naimi menunjukkan ke arah wanita di dalam sangkar besi. “...tamat riwayat mak kau!”
   Fajar mengetap gigi.Geram.Dia tidak mahu buat semua itu tetapi sudah terpaksa.Dia tidak mahu ibunya menjadi mangsa.Dalam keadaan terpaksa,dia menjawab, “Baiklah...bila serangan tu?”
   Jabran tersenyum lebar. “Tak lama...esok atau lusa...”
    
                           *          *          *          *          *
   “Macam cerita adventure pula aku dengar!”Azman memberi komen setelah Hafiz selesai bercerita.Mulutnya tersengih.
   “Kau ingat aku bohong,hah?Tadi kau juga cakap kau nak dengar!”Kata Hafiz,menggoncang-goncang bahu Azman.
   “Woi,aku berguraulah!Okey,aku percaya cerita kau.Dahlah,lepaskanlah aku.”
   Hafiz melepaskan pegangannya.
   “Habis tu,apa rancangan kau berdua sekarang?Misi kau berdua sekarang memang berat.Tentang serangan makhluk yang tak diketahui namanya.Aku rasa makhluk tu mesti menakutkan.”
   “Ha’ah,tapi aku rasa budak sebelah aku ni lagi menakutkan!”Hafiz menjeling Inarah.
     Inarah berasa bengang lalu memijak kaki Hafiz.Hafiz mendesis kesakitan.Azman sekali lagi tersengih.
   “Bila kau berdua nak selesaikan misi ni?”Tanya Azman.
   “Kami tak tahu lagi.Aku rancang cuti empat hari ni kami akan berada kat sana dan selesaikan misi tu dalam masa tiga hari.Tapi,kami akan balik juga sekejap supaya keluarga kami sedar kami ada di rumah.Lepas tu,kami akan ke sana balik tanpa pengetahuan mereka.Aku harap semua berjalan lancar,”Inarah memandang Hafiz.
   Hafiz yang seakan faham maksud Inarah itu berkata, “Aku pergi!”
   Inarah membeliakkan matanya.
   “Kau biar betul,Hafiz?”Soal Azman lagi.
   “Aku seriuslah.Inikan tugas aku.Lagipun,penduduk Mena perlukan bantuan aku.Aku kenalah tolong,”kata Hafiz selamba.
   “Heh,aku rasa aku dah makin mengenali kau sekarang!Kau tak adalah dingin sangat!”Ujar Inarah tersenyum sinis.
   Hafiz membalas senyuman sinis itu. “Aku ni bukannya kejam sangat nak biarkan orang dalam kesusahan.”
   “Oh ya?”Balas Inarah menyindir.
   “Okey,okey cukup!Apapun,aku doakan kau berdua berjaya.Tentang rahsia kau berdua,kau berdua jangan risau.Rahsia tu selamat dengan aku,”kata Azman setelah cuba meleraikan pertelingkahan mulut antara Hafiz dan Inarah.
   Hafiz menghulurkan tangan untuk berjabat pada Azman. “Terima kasih,Azman.Kalau panjang umur,kita akan jumpa lagi.”
   Azman menyambut salam itu. “Aku tunggu kau balik.”
   Hafiz dan Azman meleraikan salam mereka.
   “Inarah,”panggil Hafiz.
   “Apa?”
   “Malam ni,misi kita baru saja bermula.”

                           *          *          *          *          *
   Hafiz memandang jam dinding biliknya.Tepat pukul sepuluh malam.Dia keluar dari bilik menuju ke bilik air.Dia mengambil wuduk dan menunaikan solat Isyak.Selepas solat,Hafiz berdoa supaya Tuhan mengampuni dosanya dan kedua-dua ibu bapanya,memberkati perjalanannya ke Dimensi Mena dan melindunginya dari segala bahaya.
   Selesai solat,pintu biliknya diketuk.Encik Johari,ayah Hafiz masuk ke dalam bilik.Hafiz mengukir senyuman.
   “Ada apa,ayah?”Tanya Hafiz.
   “Ayah nak restu pemergian Hafiz,”mulut Hafiz terlopong mendengar kata-kata ayahnya.
   “Apa maksud ayah?Hafiz tak pergi mana-mana.”
   Encik Johari tersenyum.Hafiz terkejut sekali lagi apabila ayahnya mengambil batu jed yang terletak atas meja belajarnya.
   “Ini Hafiz punya?”
   Hafiz terkebil-kebil. “Ya,tapi itu...”
   “Ayah tak halang kamu pergi.Kamu dah besar.Kamu tahu tak,masa zaman datuk nenek kamu,budak umur 14 tahun dah pegang senjata pergi berperang masa zaman komunis dulu.Inikan pula kamu dah 16 tahun,”Encik Johari mendekati Hafiz. “Cuma ayah nak pesan,jaga diri baik-baik.Ingat Allah.Kepada-Nya saja kita minta pertolongan.”
   Hafiz mengangguk faham. “Tapi,macam mana ayah tahu hal ni?”
   “Saya yang beritahu,”Widad muncul di situ tiba-tiba.
   “Pak Cik Widad!”Teriak Hafiz. “Tapi,kenapa?Inarah cakap tak boleh beritahu sesiapa tentang perkara ni termasuk keluarga.”
   “Jangan risau,Hafiz.Ibu kamu dan adik-adik kamu tak tahu tentang hal ni.Cuma ayah kamu saja.Saya buat begini sebab saya nak kamu perlukan sokongan berdasarkan restu ayah kamu sepanjang kamu jalankan misi ni dan misi-misi seterusnya.”
   “Pada mulanya ayah tak setuju.Tapi,bila difikirkan balik,semua ni untuk keselamatan penduduk Mena yang akan kamu selamatkan.Jadi,sebab itulah...”
   “Jadi,ibu bapa dah Inarah tahu hal ni?”
   Widad menggeleng. “Masa Inarah mula-mula terpilih dulu,saya juga terfikir nak beritahu sama ada pada ayah atau ibunya tapi Inarah tak benarkan sebab dia tak nak ibu bapanya risau.Dia beritahu kamu jangan beritahu keluarga kamu pun atas sebab yang sama.”
   Hafiz diam.Encik Johari menepuk-nepuk bahu anaknya. “Ayah doakan kamu berjaya.Tentang mak dan Yati,pandailah ayah cari alasan nanti.Tapi,jangan lupa balik walaupun sekejap.”
   “Ya,ayah,”Hafiz mendapatkan Widad. “Pergi dulu.”Hafiz menghalakan batu jednya ke meja cermin.Cermin itu bercahaya.
   Widad dan Hafiz masuk ke dalam cahaya itu.Sebelum itu,Hafiz sempat berpaling pada ayahnya.Encik Johari mengukir senyuman.
   “Terima kasih,ayah,”ucap Hafiz sebelum hilang dari pandangan mata Encik Johari.

Ruang Putih a.k.a Sempadan Dimensi
   “Memang kena lalu sini dulukah sebelum ke Mena?Semalam masa saya mula-mula datang ke Mena pun pak cik bawa saya ke sini.”
   Widad ketawa kecil. “Ini sempadan dimensi,memang kita kena lalu sini dulu.Dah lupa ke,di sinilah saya ajar kamu buat pelindung jingga,cara gunakan batu jed dan juga teleport sebelum kamu selamatkan Inarah semalam.Walaupun tak sampai sejam saya ajar kamu,kamu dah dapat guna dengan baik.”
   “Ya,saya pun pelik,”kata Hafiz sambil mengangkat bahunya.
   Widad tersenyum. “Jomlah,kita pergi.Inarah,Yusra dengan yang lain sedang menunggu.”
   Hafiz memandang Widad,hairan. “Yang lain?”
   “Kamu akan tahu nanti.”
   Widad dan Hafiz berjalan dalam ruang putih itu.Pada pandangan Hafiz,ruang putih itu kelihatan sama sahaja tetapi tidak pada Widad.Widad seakan-akan tahu akan jalan yang berbeza di ruang putih itu.Dia berjalan tenang.
   Seketika kemudian,bayangan Yusra dan Inarah muncul pada pandangan Widad dan Hafiz di hadapan sana.Kening Hafiz berkerut apabila melihat tiga orang lagi remaja sebayanya berdiri di sana;dua lelaki dan seorang perempuan.
   “Itupun mereka sampai,”kata Yusra.
   Inarah dan ketiga-tiga remaja itu berpaling.Hafiz termangu.
   “Hafiz,kenalkan ini kawan-kawan aku yang aku kenal masa aku jalankan dua daripada tiga misi aku dulu.Khazin dan Naufal,mereka sepupu dari negara Luvia.Aku kenal mereka masa aku jalankan misi pertama.Naufal tua setahun daripada kita,”Inarah memandang gadis di sebelahnya. “Ini pula Dayana dari Ghanum.Dia muda setahun daripada kita.Aku jumpa dia masa misi ketiga.”   
     “Sempat lagi kau berkenalan masa jalankan misi?”Tanya Hafiz.
   “Hei,bro!Inilah katanya mengeratkan silaturrahim,”Naufal mencelah sambil diikuti senyuman sinis Khazin.
   “Huh,yalah tu!”
   Yusra memandang Hafiz. “Mereka bertiga masih berhubung dengan Inarah.Bila mereka dapat tahu hal ni,mereka tawarkan diri nak tolong kamu berdua.Saya tak boleh cakap apa.Lagipun,ini memudahkan lagi misi kamu,kan?”
   Hafiz memandang Khazin,Naufal dan Dayana.Ketiga-tiga mereka tersenyum ke arah Hafiz.Dia sedar,mungkin pertolongan mereka bertiga dapat meringankan sedikit tugasnya.
   “Baik,tapi mereka tak ada abiliti macam saya dan Inarah,”Hafiz memandang Widad dan Yusra.
   “Jangan risau,”Dayana bersuara. “Kami ada senjata kami sendiri,termasuk tangan dan kaki kami.Mungkin kami tak dapat lawan mereka sebab mereka manusia Genolis,tapi sekurang-kurangnya kami dapat membantu.Kami dah biasa dengan pertempuran sebegini.Di sekolah pun ada latihannya.”
   “Hah?”
   “Di sekolah mereka,dua hari dalam seminggu mereka akan adakan latihan mempertahankan diri termasuk latihan menggunakan senjata.Jadi,semua ni tak jadi masalah,”jelas Inarah.
   Hafiz yang mendengar mengangguk.
   “Sudah,kamu semua bertolak sekarang!Hati-hati,”pesan Widad.
   “Baik!”Mereka berlima menjawab serentak.
   Hafiz memegang lengan Khazin dan Naufal.Dengan menggunakan kuasa teleportnya,dia bersama-sama Naufal dan Khazin menghilang dari situ.
   Inarah ingin membuat perkara yang sama.Namun,semasa tangannya memegang lengan Dayana,Yusra dan Widad menghalangnya.
   “Kenapa?”Tanya Inarah hairan.
   “Kamu belum beritahu Hafiz siapa dia?”Tanya Widad pula.
   Inarah tunduk,lalu menggelengkan kepalanya.Dayana yang berada di sebelah menepuk bahunya.
   “Saya rasa masa ni tak sesuai.Dia baru terima yang dia status dia.”
   “Saya faham.Kamu takut dia tarik diri kalau dia tahu perkara sebenar,kan?”Potong Yusra dibalas dengan anggukan Inarah.
   “Sedangkan sebelum ni saya beritahu dia yang dia manusia terpilih pun dia dah tak terima,inikan pula kalau saya beritahu yang dia...pahlawan Mena.”
   Widad dan Yusra tersenyum.
   “Terpulang pada kamu.Kami sendiri dah putuskan segala keputusan di tangan kamu.Tapi ingat,sebagai pembantu dan juga penasihat dia,kamu kena juga beritahu Hafiz siapa dia sebenarnya.Lebih-lebih lagi kamu penasihat dia sepenuhnya selepas kami tiada nanti,”kata Widad pula.
   Inarah bersilih-ganti memandang Widad dan Yusra.Keningnya tajam memandang mereka tetapi matanya mula berkaca.
   “Kamu berdua tak boleh cakap macam tu.Saya belum bersedia...”
   “Inarah,tak kira di mana kami berada,kami tetap di medan pertempuran.Genolis boleh menyerang kami bila-bila masa saja mereka mahu.”
   Inarah tunduk.Dayana memandang sayu wajah gadis itu.
   “Hafiz perlu tahu hal ni secepat mungkin.Ingat!”
   “Baiklah,saya akan beritahu dia juga suatu hari nanti,”Inarah memegang lengan Dayana. “Kami pergi dulu.Doakan kami,”Inarah dan Dayana menghilang dari situ.
   Yusra memandang Widad. “Tak apa ke,Widad?”
   “Jangan risau.Aku yakin kita dah buat keputusan yang tepat.Ini untuk kebaikan dimensi kita juga,begitu juga Hafiz dan Inarah.”
   “Tentu tugas mereka lagi mudah kalau mereka tak dapat kesan kita lagi,kan?Semuanya salah aku.Aku yang menyebabkan kita dapat dikesan,”ujar Yusra sambil teringat kisah lama di mana dia datang ke bumi untuk merawat Inarah yang cedera.
   “Jangan macam tu.Bukannya salah kau,”kata Widad.
   “Habis,kau nak salahkan Inarah?”
   “Bukan macam tu,”Widad membalas. “Bagi aku,benda tu dah nak jadi,kita terima sajalah.Aku yakin,walaupun mereka dah tahu pasal kita,kita tetap boleh lawan mereka.Sama-samalah kita berdoa.”
   Yusra mengangguk-anggukkan kepalanya.


No comments:

Post a Comment