Saturday, March 26, 2011

BAB 8


DUM!DUM!Kedengaran bunyi hentakan demi hentakan pada salah satu pokok besar di hutan itu.Pokok itu sedikit bergoyang setiap kali bunyi hentakan itu berbunyi.Disebabkan hal itu,berhelai-helai daun pokok gugur ke tanah.
     Rupa-rupanya itu pokok tempat Khalil diikat dan tersandar tidak boleh bergerak ke mana-mana dari situ.Khalil telah mengalirkan tenaga Genolis di dalam tubuhnya itu untuk menghentak-hentak batang pokok tersebut menggunakan badannya.Tujuannya adalah untuk melepaskan diri dari ‘ikatan haba halimunan’ yang dihasilkan Musyary itu.
     Walaubagaimanapun,sudah beberapa kali Khalil mencuba tetapi gagal.Tubuhnya yang sudah sakit kini bertambah sakit.Dia sudah semakin lemah.Dia hanya mampu menghela nafas.Dalam pada itu juga,dadanya sebak.Entah kenapa,dia terfikirkan keluarganya.
     Khalil memejamkan matanya.Dia menarik nafasnya dalam-dalam dan menghembuskannya.Matanya dibuka dan tubuhnya terus menghentak-hentak batang pokok tersebut.Pokok itu bergoyang-goyang lagi.Berhelai-helai daun gugur ke tanah lagi.
     Lelaki itu terus menghentak sekuat tenaganya.Dia tidak berputus asa.Apa yang dia tahu,dia harus melepaskan diri dari situ dan mencari adiknya Khazin dan juga kawan-kawannya.Dia tahu dirinya sudah tercedera teruk lebih-lebih lagi penyakitnya masih belum sembuh sepenuhnya namun dia tidak mempedulikan semua itu.Dia harus pergi walau apapun terjadi.
     Khalil menjerit lalu menghentak batang pokok itu lagi.Gagal.Dia mencuba lagi.Gagal.Dia mencuba lagi dan lagi.Gagal dan gagal.
     Khalil tercungap-cungap.Bagaimanapun semangatnya masih belum patah.Dia mahu meneruskannya tetapi...
     “Sabar dulu,”Khalil terdengar suara menegurnya.Bahunya seperti disentuh seseorang.
     Perlahan-lahan Khalil mengalihkan pandangannya ke sebelah.
     “Kau siapa?”Tanya Khalil apabila ternampak seorang lelaki yang tidak dikenali berada di sebelahnya sambil mengukir senyuman.
     Lelaki itu sama lebih kurang sama tinggi daripadanya.Perbezaannya cuma mungkin dari segi umur.Dari raut wajahnya,Khalil mendapati lelaki itu jauh lebih muda daripadanya.Lelaki itu mungkin berumur dalam akhir belasan tahun tetapi wajahnya menunjukkan kematangan.
     Lelaki itu tidak menjawab soalan Khalil.Kedua-dua tangannya memegang kedua-dua lengan Khalil.Khalil langsung tidak membantah.Mana tidaknya,hendak berlawan pun dia sendiri tidak boleh bergerak.
     Tiba-tiba Khalil terasa kedua-dua lengannya agak panas.Khalil mula meronta.
     “Apa kau buat ni?”Tanya Khalil dengan nada membantah.
     “Sabar.Sikit saja lagi,”lelaki itu menenangkan Khalil.
     Semakin lama Khalil terasa kedua-dua lengannya semakin panas.Dia menjerit kepanasan.Bagaimanapun ia cuma sekejap.Panas itu kian hilang.Dan Khalil terasa badannya longgar.Dia jatuh terduduk disebabkan tidak terdaya untuk terdiri kerana kesakitan tubuh badannya.
     “Kenapa ni?”Khalil hairan apabila dia terasa dia sudah boleh menggerakkan anggota badannya. “Apa dah jadi?”Dia bingung.
     “Ikatan haba halimunan tu dah terlerai.Kau dah bebas sekarang,”lelaki itu bersuara tenang.
     Lelaki itu merangkul bahu Khalil membantunya bangun.Khalil walaupun lemah dia tetap berusaha untuk berdiri atas bantuan lelaki itu.Meskipun dia pelik dengan kejadian ini tetapi dia tetap bersyukur kerana dia sudah terlepas dari satu seksaan.
     “Mari!”Ajak lelaki itu lalu melompat ke dahan pokok.
     “Eh,pergi mana?”Soal Khalil hairan.
     “Kau tentu nak berjumpa dengan budak-budak itu,kan?”Lelaki itu meneka sambil tersenyum.
     Khalil sedikit tersentak.Bagaimana lelaki itu tahu?Adakah lelaki itu salah seorang daripada kawan adiknya,Khazin?Kalau iya pun,mengapa dia berada di sini dan bukannya bersama mereka?Dan apa motif lelaki itu menyelamatkannya sedangkan dia langsung tidak mengenali lelaki itu?
     “Sedia!Aku nak mula melompat ni!Pegang aku kuat-kuat!”
     “Nanti!”Khalil menahan.Lelaki itu tidak jadi melompat.Dia memandang Khalil.
     “Kau siapa sebenarnya?Macam mana kau tahu tentang budak-budak tu?Bagaimana pula kau kenal aku dan tahu aku berada di sini?Apa motif kau selamatkan aku?”Bertalu-talu soalan keluar dari mulut Khalil.
     Lelaki itu ketawa kecil. “Maaf.Lain kali sahaja aku jawab soalan tu.Aku cuma boleh jawab satu soalan saja...iaitu siapa aku.”
     “Itupun dah cukup...”Khalil akur.
     Lelaki itu tersenyum. “Kau tanya siapa aku,kan?”Ulang lelaki itu. “Nama aku Fajar.Aku seorang Genolis...”
     Terbeliak mata Khalil mendengar kenyataan itu.Lantas dia melepaskan rangkulan lelaki bernama Fajar itu dari bahunya.Pada masa itu dia tidak sedar bahawa ketika itu dia dan Fajar sedang berdiri di atas dahan pokok.Disebabkan dia lemah dan tidak mampu untuk berdiri,dia terjatuh dari dahan pokok itu!
     Fajar pula lantas terjun dan menyambut Khalil sebelum lelaki itu jatuh ke tanah.Fajar membawa Khalil perlahan-lahan mendarat.Khalil tercungap-cungap.Terperanjat betul dia tadi.
     “Aku belum habis cakap lagi,”ujar Fajar. “Memang aku Genolis...tapi aku Genolis seperti kau.Aku Genolis suntikan!”Terangnya.
     “Apa buktinya?”Khalil masih tidak berpuas hati.
     Fajar menghela nafas. “Aku tak ada bukti.Tapi percayalah,aku tak berniat jahat.Aku kenal Hafiz,Pahlawan Mena dan juga manusia terpilih.Inarah,manusia terpilih dan juga pembantu Hafiz.Dayana,Khazin dan Naufal pembantu mereka,”beritahunya dengan bersungguh-sungguh.
     “Macam mana kau kenal mereka?”
     “Beberapa minggu lalu mereka berlima menjalankan satu misi.Waktu itu aku masih Genolis jahat.Tapi Hafiz dah selamatkan aku dan aku sudah sedar sekarang.Aku juga pernah masuk PPD macam kau dulu,”cerita Fajar.
     Khalil merenung lelaki di hadapannya itu. “Berapa umur kau?”
     “Tujuh belas.”
     Khalil berfikir seketika.Kemudian dia berkata, “Baik,aku percayakan kau.Tapi boleh aku tahu macam mana kau kenal aku dan tahu aku di sini?”
     Fajar tidak menjawab terus soalan itu sebaliknya dia merangkul bahu Khalil.Dia membawa Khalil melompat dari satu dahan ke dahan pokok yang lain dengan pantas.Memandangkan pokok-pokok di hutan itu besar-besar belaka,maka dahannya sudah tentu besar-besar memudahkan lompatan Fajar.
     “Woi,perlahanlah sikit!”Rungut Khalil dengan nada jeritan.
     “Aku datang sini atas perintah pihak atasan Polis Dimensi!”Fajar memberitahu tanpa mempedulikan rungutan Khalil.
     “Polis Dimensi?”
     “Polis Dimensi sudah maklum akan misi ni.Semasa dalam penjara dulu,aku pernah beritahu ketua mereka,Chief Inspektor Mahdi supaya masukkan aku sekali setiap kali Hafiz dan Inarah menjalankan misi,”cerita Fajar.
     “Jadi,apabila misi ni berlangsung,pihak Polis Dimensi menghubungi aku tanpa pengetahuan Hafiz dan Inarah.Setiap maklumat tentang misi yang sudah diperhatikan Polis Dimensi dimaklumkan kepada aku.Sebab itulah aku tahu kau di sini dan sedang risaukan mereka berlima,”sambungnya lagi.
     “Jadi kau tahu Khazin tu adik aku?”Tanya Khalil.
     Fajar tersentak. “Yang itu...aku tak tahu pula.Tak diberitahu.”
     “Habis,macam mana kau tahu aku bimbangkan budak-budak tu?”
     “Yalah.Mereka dalam perjalanan untuk menyelamatkan kau sekaligus untuk selesaikan misi ni.Genolis-Genolis tu mesti ada beritahu kau tentang kedatangan mereka.Sudah tentulah kau risau walaupun kau tak kenal mereka sekalipun.Kau tentu mengharapkan mereka menyelamatkan kau,kan?”
     Khalil menjeling Fajar. “Separuh daripada tekaan kau betul.Jauh di sudut hati aku,aku risaukan mereka.Untuk pengetahuan kau,aku kenal mereka semua kecuali lelaki bernama Hafiz tu.Walaupun aku tak kenal dia,tapi aku terharu sebab dia juga termasuk dalam orang yang ingin selamatkan aku.Aku risaukannya sebab aku menghargai bantuannya.”
     Fajar tersenyum. “Hafiz memang begitu.Dia juga pernah selamatkan aku dulu.Dia tak kenal aku tapi dia tetap menolong aku.Sebab itu aku bertekad,kalau ada peluang...giliran aku pula menolongnya.”
     Khalil diam.Dari raut wajah remaja lelaki itu,wajah itu benar-benar menunjukkan keikhlasan.Kali ini,barulah dia percaya bahawa lelaki bernama Fajar itu bercakap benar dan boleh dipercayai.
     “Kita dah nak keluar hutan.Pegang kuat-kuat sebab aku akan terapung nanti.Aku akan terbang laju!Dengan itu kita akan cepat sampai ke kota!”Fajar memberi arahan.
     Khalil hanya menurut arahan.Dia merangkul kuat bahu Fajar.
     Beberapa minit kemudian,mereka sudah keluar dari hutan.Nun di hadapan sana berdirinya bangunan-bangunan tinggi pencakar langit,menandakan terdapat kota di situ.Fajar dan Khalil masih terapung di udara.
     “Kita dah nak sampai!”Arah Fajar.
     “Kenapa tak teleport saja?”Tanya Khalil.
     “Tenaga banyak digunakan nanti.Lagipun,kita tak tahu mereka berada di mana sekarang.Lebih elok kalau kita mencari dari udara.”
     Khalil mengangguk faham.
     “Sedia?”Fajar menarik nafas dalam-dalam.Dia mengumpulkan tenaganya.Kemudian,dengan pantas dia terbang melaui lompatan di atas udara.Lompatannya tinggi dan melangkau jauh.Oleh itu,dia boleh cepat sampai ke kota.

                 *          *          *          *          *
     Umar dan Encik Dasuki terapung-apung di udara sambil kedua-dua tangan mereka memegang leher.Mereka terasa leher mereka dicekik oleh seseorang tetapi apa yang kelihatan ialah tangan mereka sendiri yang memegang leher mereka.Kaki mereka meronta-ronta.Mereka seolah-olah dikawal seseorang dan kenyataan itu sememangnya tepat sekali.
     Di bawah,Gomez mengangkat tangannya perlahan-lahan naik ke atas.Umar dan Encik Dasuki terapung-apung di udara selari dengan kenaikan tangan Gomez itu.Umar dan Encik Dasuki kelihatan dalam kesakitan.Gomez pula ketawa berdekah-dekah.
     “Woi,lepaskan merekalah!”Suruh Khazin dengan marah.Pantang betul dia melihat orang yang tidak berdosa menjadi mangsa keadaan.
     “Ooo...lepaskan ya...”Gomez menjeling sinis.
     Tanpa disangka-sangka,Gomez menggerakkan tangannya laju ke sebelah tangan sekaligus Umar dan Encik Dasuki turut ‘terbang’ mengikut gerak tangan Gomez itu.Mereka kelihatan seperti melayang-layang di udara.
     “Aaaahhhhh!!!!”Jeritan yang datang dari Umar dan Encik Dasuki mencemaskan Khazin dan Naufal.
     “Berhenti!”Naufal pula bersuara.
     Gomez menghentikan gerak tangannya sekaligus membuatkan Encik Dasuki dan Umar berhenti melayang-layang.Encik Dasuki dan Umar yang masih berada di udara merasakan kepala mereka pening yang amat.
     “Kau berdua dah nampak tadi,kan?Sekarang baik kau berdua serah diri dan beritahu di mana Hafiz dan Inarah sekarang?”Ugut Faruk berwajah sinis.
     “Jangan harap!”Khazin menghetakkan Lamani ke tanah dan lingkaran api terhasil menuju ke arah Faruk.
     Faruk pantas mengelak tetapi Naufal menyerangnya pula dengan libasan cahaya dari belakang.Libasan itu hampir mengenai pinggang Faruk.Ia menghiris sedikit pinggang Faruk dan darah keluar melaluinya.
     Gomez marah melihat keadaan itu.Tangan kanannya digenggam.Encik Dasuki dan Umar yang berada di atas udara terasa diri mereka diikat.Mereka tidak boleh bergerak.Memang itu yang dilakukan Gomez supaya mereka berdua tidak boleh bergerak ke mana-mana.
     Gomez membiarkan Encik Dasuki dan Umar seketika dan menuju ke arah Khazin dan Naufal.Dia menghayun pedangnya dan mengeluarkan libasan-libasan kecil secara bertalu-talu ke arah kedua-dua remaja itu.
     Khazin dan Naufal dapat mengelak separuh daripada libasan-libasan kecil itu tetapi mereka juga tidak bernasib baik.Lengan dan kaki mereka terkena sedikit hirisan libasan itu menyebabkan mereka luka kecil.Memang pedih tetapi mereka terpaksa menahannya.
     “Sekarang rasakan ini pula!”Faruk dan Gomez serentak bersuara.
     Secara bekerjasama,Faruk melintangkan pedangnya sementara Gomez menegakkan pedangnya.Bilah pedang mereka bercahaya hitam tiba-tiba.
     Khazin dan Naufal termangu.
     Lebih mengejutkan,bilah pedang mereka yang bercahaya hitam itu mengeluarkan percikan demi percikan yang juga berwarna hitam.Percikan-percikan itu semakin lama semakin membesar.Khazin dan Naufal gugup.
     Faruk yang melintangkan pedangnya tadi dihunuskan mata pedangnya ke bawah.Gomez yang menegakkan pedangnya tadi juga dihunuskan mata pedangnya ke bawah.
     “Yaarrrgghhh!!!”Sambil menjerit mereka mencacakkan mata pedang ke tanah.Percikan-percikan besar berlaku.
     Percikan-percikan berwarna hitam menyambar di sekeliling mereka.Apa yang pasti,sasaran percikan-percikan itu bukannya Faruk dan Gomez mahupun Encik Dasuki dan Umar yang masih terapung di udara tidak boleh bergerak itu.Apa yang pasti,sasarannya ialah Khazin dan Naufal.
     Percikan-percikan hitam itu terus hendak menyambar Khazin dan Naufal tetapi mereka berdua bernasib baik kerana mereka mempunyai kepantasan untuk mengelak.Memang itu apa yang diajarkan di sekolah dalam latihan seni bela diri itu.Kalau ianya hampir mengenai mereka,mereka menahannya dengan senjata masing-masing.
     “Tak guna!”Faruk dan Gomez sama-sama mendengus apabila mereka melihat Khazin dan Naufal langsung tidak mengenai sedikitpun serangan mereka.
     Khazin mendarat dari lompatannya lalu menghasilkan bebola api yang sederhana besar dengan Lamani.Ia disertai dengan libasan cahaya yang dihasilkan Ukail kepunyaan Naufal.Libasan itu menolak bebola api tersebut dan menuju ke arah Faruk dan Gomez.
     Faruk dan Gomez menghentikan serangan mereka untuk menahan serangan dari Khazin dan Naufal.Mereka berjaya menahan tetapi mereka mengalami kecedearaan sedikit semasa penahanan itu.Sisa-sisa api dan libasan cahaya itu mengenai tubuh mereka menyebabkan mereka sedikit tercedera.
     “Cis!!!”Faruk melompat ke hadapan dengan laju lalu menghasilkan angin yang kuat.
     Angin yang kuat itu memberikan efek yang kuat pada Khazin dan Naufal.Lebih menyakitkan apabila angin kuat itu disertai dengan duri-duri yang tajam mengenai tubuh Khazin dan Naufal.Sakit kian terasa.
     Setelah angin reda,kedua-dua sepupu itu jatuh terduduk.Badan mereka terasa sakit.Wajah mereka berkerut menahan kesakitan.
     Faruk ketawa terbahak-bahak. “Sedap tak?”Perlinya sambil diikuti dengan tawa Gomez.
     “Kejam betul!”Tangan Khazin terketar-ketar menggenggam hulu pedangnya lalu diangkatnya.
     “Hmm...”Faruk memandang hairan.
     “Aargghhh!!!”Sambil menjerit Khazin melontarkan libasan api kepada Faruk.
     Faruk terkejut tetapi dia sempat menahan serangan itu dengan pedangnya kerana libasan api itu tidaklah sekuat mana.Apapun,ia tetap membuatkan Faruk dan Gomez geram.
     “Kau tak serik lagi ke,hah?”Bentak Faruk.
     “Hmph!”Gomez yang berada tidak jauh dari situ kembali mengawal Encik Dasuki dan Umar yang terapung tidak boleh bergerak di atas udara.
     Gomez menggenggam kedua-dua tapak tangannya.Di udara,Encik Dasuki dan Umar menjerit kesakitan.Mereka terasa badan mereka sakit seperti dihimpit sesuatu yang kuat.
     “Macam mana sekarang?”Gomez tersenyum sinis.
     Khazin berasa geram.Dia mahu bertindak tetapi ditahan Naufal.
     “Jangan bertindak bodoh,Khazin!”Naufal memberi nasihat. “Kita tak ada pilihan.Baik kita mengalah saja.
     Khazin mendiamkan diri.Dia tidak mahu mengalah begitu sahaja tetapi apabila melihatkan keadaan Encik Dasuki dan Umar,hatinya tersentuh.Walaupun dia tidak mengenali mereka berdua,tetapi dia tidak sanggup melihat orang yang tidak berdosa menjadi mangsa.
     “Baiklah...”Khazin bersuara lemah. “...kami menga...”
     “Jangan bertindak bodoh!Kau berdua masih belum kalah!”Teriakan seseorang memotong percakapan Khazin.
     Faruk dan Gomez mengalihkan pandangan mereka di udara.Khazin dan Naufal yang juga terkejut mengalihkan pandangan mereka ke udara kerana mereka merasakan suara itu datangnya dari atas sana.
     Fajar yang sedang memapah Khalil memandang mereka dengan pandangan tajam.
     “Fajar?”Kata Naufal.
     “Tak mungkin!Abang?”Ayat itu terkeluar pula dari mulut Khazin.
     “Khazin...”Khalil bersuara lemah.Sudah beberapa tahun dia ingin bertemu dengan adik kandungnya.Kali ini,mimpinya menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment